KUALA LUMPUR – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa kesal dengan kejadian kemalangan maut membabitkan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) selepas berulang kali menyuarakan kebimbangan dengan kejadian kemalangan khususnya yang membabitkan kenderaan berat.
Rasa kesal baginda itu apabila menyentuh tentang hukuman terhadap pemandu kenderaan atau syarikat terlibat yang didapati cuai dan tidak menepati syarat keselamatan yang ditetapkan.
Sambil menzahirkan rasa sedih dan dukacita dengan tragedi menyayat hati yang menimpa semua mangsa terlibat, Sultan Sharafuddin bertitah supaya kerajaan mengambil perhatian serius dengan kejadian kemalangan jalan raya khususnya yang membabitkan kenderaan berat di jalan raya dan lebuh raya.
Melihat kepada jumlah kes dan tragedi seumpamanya yang kian meningkat serta kadar kemalangan jalanraya yang semakin kerap berlaku, baginda mahu tindakan segera yang lebih tegas diambil oleh pihak berkuasa.
“Baginda mahu, sekiranya didapati bersalah dan menjadi punca dalam kemalangan maut atau menyebabkan kecederaan parah, pemandu dan syarikat terlibat bukan sahaja perlu didenda atau dipenjara, malah lesen memandu mereka wajar ditarik balik.
“Ini bagi memberi pengajaran kepada pemandu lain agar mereka lebih berhati-hati dan memberi tumpuan yang tidak berbelah bahagi ketika memandu,” titah Sultan Selangor menerusi hantaran di laman sosial Facebook Selangor Royal Office hari ini.
Terdahulu menerusi hantaran sama, Sultan Sharafuddin dan Tengku Permaisuri Selangor Tengku Hajah Norashikin berkenan menzahirkan perutusan takziah kepada keluarga dan waris sembilan anggota FRU yang terkorban dalam kejadian itu.
Sementara itu, Sultan Sharafuddin turut menggesa syarikat-syarikat yang mengendalikan perkhidmatan lori, bas dan kenderaan berat lain agar memastikan penilaian yang ketat dalam memilih pemandu dan kelindan yang bersih dan tidak bermasalah.
Baginda turut mengingatkan semua pihak terlibat agar tidak menutup sebelah mata dan memandang ringan terhadap perkara-perkara yang boleh membawa kepada kecuaian seperti kondisi kenderaan dan kelayakan pemandu.
“Baginda berharap dan berdoa agar tidak akan lagi berlaku tragedi kemalangan sebegini, apatah lagi yang membabitkan kehilangan nyawa insan-insan tidak berdosa, khususnya mereka yang sedang berkhidmat untuk keamanan negara,” tambah kenyataan itu.
Dalam kejadian pukul 8.50 pagi kelmarin, sembilan anggota FRU maut selepas trak yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori membawa muatan pasir di Teluk Intan, Perak.
Kejadian itu turut menyebabkan sembilan anggota FRU lain cedera dan kesemua mereka sedang dalam perjalanan pulang ke Ipoh selepas selesai menjalankan tugas sempena perayaan Chitrapournami di Teluk Intan. – MalaysiaGazette