Palestinian children shove to get a ration of hot food from a charity kitchen set up at the Islamic University campus in Gaza City on May 12, 2025. Israeli Prime Minister Benjamin Netanyahu said on May 12 that the release of a US-Israeli hostage announced by Hamas would not lead to a ceasefire in the Gaza Strip or the release of Palestinian detainees. (Photo by Omar AL-QATTAA / AFP)

SETIAP kali tanggal 15 Mei menjelma, rakyat Palestin dan umat Islam yang cakna akan memperingati satu titik hitam dalam sejarah moden: Nakbah – hari tanah air Palestin dirampas secara rasmi oleh gerakan Zionis melalui pengisytiharan penubuhan negara haram Israel pada tahun 1948.

Peristiwa ini bukan sekadar pencerobohan fizikal, tetapi satu bentuk pembersihan etnik, penghinaan terhadap maruah umat Islam, dan permulaan kepada penjajahan moden yang masih berterusan hingga ke hari ini.

Namun di sebalik peringatan tahunan, masih ramai dalam kalangan umat Islam hari ini yang melihat isu Palestin sekadar konflik politik asing, atau sekadar tragedi kemanusiaan yang jauh dari kehidupan mereka.

Inilah sudut pandang kritikal yang sering diabaikan — iaitu bahawa Palestin bukan hanya isu geopolitik, tetapi isu maruah umat, lambang akidah, dan ujian peradaban. Lebih membimbangkan, kealpaan ini berlaku di era yang penuh informasi, namun tandus dari segi tindakan dan kesedaran rohani.

Untuk memahami kedalaman tragedi ini, kita harus kembali menelusuri sejarah. Nakbah bukan satu-satunya peristiwa yang memperlihatkan Baitulmaqdis dan tanah Palestin dijajah.

Jauh sebelum itu, pada tahun 1099, Baitulmaqdis jatuh ke tangan Tentera Salib. Ribuan umat Islam dibunuh secara kejam, dan kota suci itu dihina selama hampir satu abad sebelum Salahuddin al-Ayyubi membebaskannya pada tahun 1187.

Apakah terdapat persamaan antara peristiwa 1099 dan 1948? Jawapannya: ya, dan ianya sangat relevan dengan keadaan umat Islam hari ini.

Pada tahun 1099, Baitulmaqdis jatuh bukan kerana kekuatan musuh semata, tetapi kerana perpecahan dalaman umat Islam. Dinasti-dinasti Muslim saling bersengketa, meletakkan kepentingan politik melebihi tanggungjawab menjaga kesucian al-Aqsa.

Begitu juga pada tahun 1948. Perjanjian Sykes-Picot yang memecahkan dunia Islam kepada negara-negara bangsa telah melemahkan kekuatan kolektif umat.

Negara-negara Arab yang baru merdeka tidak bersedia menghadapi gerakan Zionis yang telah disusun dengan rapi, dibiayai Barat dan diberi perlindungan kuasa besar seperti British dan kemudian Amerika Syarikat.

Akibatnya, lebih 750,000 rakyat Palestin diusir dari kampung halaman mereka, menjadi pelarian di tanah sendiri dan negara jiran.

Sehingga hari ini, lebih 5 juta pelarian Palestin masih belum dibenarkan pulang – bukti bahawa Nakbah bukan hanya sejarah silam, tetapi realiti yang masih berlangsung.

Dalam dekad terkini, wajah penjajahan berubah bentuk tetapi hakikatnya tetap sama. Gaza – wilayah kecil yang padat dengan penduduk – dikenakan sekatan darat, laut dan udara sejak lebih 15 tahun.

Serangan demi serangan oleh rejim Zionis mengorbankan puluhan ribu nyawa, khususnya dalam perang Taufan al-Aqsa sejak Oktober 2023 yang menyaksikan angka korban mencecah lebih 52,000 orang, majoritinya wanita dan kanak-kanak.

Tebing Barat pula terus dicengkam dengan penempatan haram, rampasan tanah dan kehadiran tentera rejim yang mengganas saban hari. Masjid al-Aqsa pula dihina hampir setiap minggu oleh kumpulan pelampau Yahudi yang dikawal tentera Israel. Kesemua ini berlaku di hadapan mata dunia – termasuk negara-negara Islam – yang hanya mampu mengutuk tanpa tindakan konkrit.

Justeru, ungkapan “Nakbah belum berakhir” bukan sekadar retorik. Ia realiti pahit yang menguji kesedaran, keimanan dan maruah umat Islam.

Hari ini, masyarakat Islam secara umumnya ghairah membicarakan pembinaan negara maju, ekonomi digital, pembangunan bandar, dan gaya hidup moden. Tetapi mereka melupakan intipati peradaban: bahawa maruah umat tidak bergantung kepada teknologi atau ekonomi semata-mata, tetapi kepada pegangan prinsip, komitmen terhadap keadilan, dan kesatuan hati.

Palestin adalah cerminan nilai ini. Ketika masyarakat Islam tidak melihat penderitaan rakyat Palestin sebagai tanggungjawab bersama, mereka sebenarnya sedang menggadai prinsip persaudaraan Islam dan meninggalkan warisan perjuangan Rasulullah SAW.

Isu Palestin seharusnya menjadi pengukur tahap iman dan kecaknaan umat Islam. Malangnya, hari ini, ramai yang lebih takut kehilangan pengikut media sosial daripada kehilangan kehormatan Masjid al-Aqsa. Ramai yang lebih sibuk mempersoalkan perbezaan mazhab, tetapi diam membisu ketika bumi para anbiya dibedil dengan peluru dan bom.

Pembebasan Baitulmaqdis pada tahun 1187 oleh Salahuddin al-Ayyubi bukan bermula di medan perang, tetapi melalui kebangkitan ruhani dan intelektual umat. Salahuddin menghidupkan kembali semangat jihad yang berteraskan ilmu, kesatuan, dan pengorbanan.

Beliau tidak hanya membina bala tentera, tetapi membina jiwa umat yang kembali sedar tentang tanggungjawab terhadap tanah suci.

Maka, jika kita mahu melihat masa depan Palestin yang bebas dan bermaruah, kebangkitan itu harus bermula semula hari ini — dengan pendidikan, kesedaran dan penyatuan. Bukan dengan slogan, tetapi dengan tindakan konkrit di peringkat individu dan masyarakat:

  • Mendidik generasi muda tentang sejarah Palestin, bukan hanya sebagai konflik politik tetapi sebagai sebahagian daripada sejarah Islam.
  • Menyokong gerakan kemanusiaan dan diplomasi yang mempertahankan hak rakyat Palestin.
  • Menolak normalisasi dengan penjajah Zionis dalam apa jua bentuk – ekonomi, budaya, atau politik.
  • Memulakan perubahan dalam diri – kembali kepada nilai Islam yang mengangkat keadilan dan pengorbanan.

Meskipun dikelilingi gelombang kezaliman dan kebisuan dunia, rakyat Palestin tidak pernah berhenti berjuang. Mereka terus mempertahankan tanah, masjid dan maruah dengan darah dan air mata. Dalam keterbatasan yang mereka miliki, mereka membuktikan bahawa ruh perjuangan itu masih hidup.

Firman Allah SWT:

“Dan janganlah kamu merasa lemah, dan jangan pula bersedih hati, kerana kamu paling tinggi darjatnya jika kamu beriman.”
(Surah Ali-Imran: 139)

Dan sabda Rasulullah SAW:

“Akan sentiasa ada satu kelompok daripada umatku yang berjuang atas kebenaran… mereka tidak akan dikalahkan oleh orang yang menentang mereka atau menghinakan mereka…”
(Hadis riwayat Muslim)

Hadis ini memberi harapan bahawa generasi pembebasan pasti akan muncul, seperti yang berlaku dalam sejarah. Soalnya, adakah kita sedang membina generasi itu, atau kita sedang lalai seperti generasi yang membiarkan sejarah hitam itu berlaku?

Nakbah bukan sekadar sejarah duka. Ia adalah isyarat Ilahi untuk umat Islam bermuhasabah, membetulkan haluan, dan bangkit sebagai umat yang bermaruah. Isu Palestin bukan beban, tetapi peluang — untuk membuktikan bahawa umat Islam masih layak memegang panji keadilan di dunia yang sedang tenggelam dalam penindasan.

Marilah kita keluar daripada kealpaan yang panjang, dan menyambut seruan sejarah: untuk kembali membina Palestin — bukan hanya di atas tanahnya, tetapi dalam jiwa umat Islam seluruh dunia.

 

Muhd Haikal Luqman Zulkefli

 

Muhd Haikal Luqman Zulkefli, Eksekutif Strategik (Perhubungan Awam), Cinta Gaza Malaysia.

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here