KUALA LUMPUR – Pelakon kontroversi Zarina membuat laporan polis selepas dia dituduh mencuri sebuah kereta mewah sambil mendakwa kenderaan itu diserahkan individu tertentu kepadanya atas kes ganti rugi yang masih belum diselesaikan.
Zarina atau nama sebenarnya Zarina Anjoulie Lavocah mendakwa, apa yang berlaku adalah fitnah kerana pihak terbabit tidak memperjelaskan situasi sebenar.
“Tapi ramai yang bertanya, video pun dah viral di Tiktok, jadi saya nak jelaskan cerita itu tak benar sama sekali.
“Kereta itu diberikan kepada saya sebagai cagaran kerana ada ganti rugi yang pihak tersebut perlu lunaskan tapi benda itu tak diceritakan langsung pihak sana. Semua bukti ada dengan saya,” katanya menerusi video di media sosial di sini.
Zarina, 37, memberitahu, dua laporan polis dibuat berkaitan pemilikan kenderaan terbabit, selain membabitkan tindakan pencerobohan serta fitnah yang dilemparkan individu berkenaan.
“Sekarang saya perlu serahkan segala dokumen penting seperti geran tanah dan rumah kerana dia bukan saja menceroboh, tetapi memfitnah saya dan keluarga.
“Sedangkan dia tahu kenapa kereta itu ada pada saya. Itu adalah atas persetujuan bersama disebabkan ada perkara yang perlu dia selesaikan dengan saya,” ujarnya.
Sementara itu, Zarina yang juga ibu tunggal turut meluahkan kekesalan apabila keluarganya menjadi mangsa apabila individu tersebut bertindak keterlaluan.
Katanya, pihak terbabit menceroboh privasi keluarganya dengan membuat rakaman video secara langsung (live) di kediaman ibunya serta bertindak kurang ajar.
“Awak membuat fitnah, datang dengan biadabnya membuat live video di luar kediaman keluarga dengan emak saya.
“Emak saya yang pernah jemput dan bagi awak dan keluarga awak makan, macam itu awak biadab dengan keluarga saya.
“Menceroboh, memfitnah saya mencuri dan tak hormat dengan ibu saya, itu sebab saya ambil tindakan,” kongsinya lagi.
Menurut pelakon itu, kes berkenaan sudah diserahkan kepada peguamnya bagi mengambil tindakan undang-undang termasuk memfailkan saman malu terhadap individu terbabit.
“Saya diam selama ini sebab sedang ambil tindakan undang-undang. Selepas ini peguam saya akan saman malu.
“Bukan itu sahaja, dia juga membuat fitnah terhadap rakan baik saya dengan menuduh kawan saya menculik anaknya demi view,” katanya.
Sebelum ini dalam satu video yang tular seorang wanita memberi amaran kepada seorang selebriti agar menyerahkan semula kenderaan kepunyaannya atau berdepan tindakan undang-undang. – MalaysiaGazette