BARCELONA – Seramai 13 cedera apabila sebuah kereta merempuh sekumpulan penyokong di luar perlawanan seteru utama antara Espanyol dan Barcelona pada hari Khamis.
Polis di Barcelona berkata, empat daripada mereka yang cedera telah dibawa ke hospital tetapi tiada seorang pun dikatakan dalam keadaan serius.
Kecederaan paling teruk dilaporkan melibatkan patah kaki.
Pihak berkuasa tempatan berkata, kejadian itu berlaku ketika penyokong Espanyol berkumpul untuk mengalu-alukan jurulatih pasukan itu.
“Ia adalah satu kemalangan, beberapa orang cedera, tetapi tidak serius.
“Tiada insiden besar untuk dilaporkan,” kata Salvador Illa, Presiden Kerajaan Catalonia, yang hadir pada perlawanan itu kepada TV Sepanyol Movistar Plus.
Dalam satu kenyataan di media sosial, polis berkata, kejadian itu tidak mendatangkan bahaya kepada orang ramai di dalam stadium.
Pemandu kereta itu ditahan kerana disyaki memandu secara berbahaya dan menyebabkan kecederaan.
Video yang disiarkan di media sosial menunjukkan sebuah kereta telah berhenti di antara beberapa tong sampah di luar stadium dan dikelilingi oleh peminat, sebelum ia memandu meluru ke arah orang ramai. – Agensi