Gambar hiasan

Oleh: Nor Athira Md Amin

DASAWARSA ini, kerjaya sebagai pendidik di Malaysia semakin meningkat kerana keperluan kerjaya tersebut dalam dunia pendidikan dan pasaran kerja. Terutama sekali, pengambilan guru secara besar-besaran yang dilakukan oleh kerajaan pada beberapa tahun kebelakangan ini. Tanggal 16 Mei merupakan tarikh keramat yang tidak asing lagi untuk individu yang bergelar pendidik seperti guru atau pensyarah sama ada dalam situasi rasmi atau bukan rasmi.

Sambutan buat insan yang bergelar guru tidak lekang disambut setiap tahun pada tanggal tersebut. Gelaran guru dan pendidik tidaklah terbatas hanya untuk institusi pendidikan yang formal, bahkan seseorang yang mengajar sesuatu secara tidak formal juga turut digelar sebagai pendidik. Pendidik atau guru merupakan ikon pendidikan dalam menyampaikan ilmu pada generasi kini dan mendatang. Namun begitu, peranan guru tidak lagi terbatas sebagai penyebar ilmu, bahkan sebagai ikon yang bertanggungjawab dalam membentuk nilai kepada generasi baharu.

Guru sebagai pewaris nilai
Dalam melangkah era globalisasi dengan teknologi yang berkembang pesat, nilai-nilai sahsiah semakin pudar dalam kalangan masyarakat khususnya golongan remaja dan belia. Pembentukan sahsiah individu dalam sebuah negara maju yang berwawasan ke arah matlamat madani, perlulah seiring dengan perkembangan kecerdasan buatan. Hal ini demikian kerana, nilai-nilai yang baik perlu ada bagi membentuk insan yang seimbang dari segi emosi, intelek, jasmani dan rohani.

Sehubungan itu, bagi merealisasikan pembentukan sahsiah dalam diri individu, peranan gurulah yang diutamakan sebagai pewaris nilai. Guru adalah individu yang bertanggungjawab dalam memupuk dan mendidik generasi muda supaya mereka sebati dengan nilai-nilai seperti hormat-menghormati, integriti, bersatu dan sebagainya. Misalnya, melalui pendekatan pengajaran yang dilaksanakan secara formal atau tidak formal, nilai sahsiah diterapkan melalui guru yang dilihat sebagai ikon sahsiah dan berwibawa di mana jua mereka berada.

Guru sebagai penyatu bangsa
Dalam institusi pendidikan formal, begitu banyak pelajar yang berlatarbelakangkan pelbagai bangsa, budaya dan agama. Guru menjadi jambatan bagi penyatuan bangsa dalam kalangan pelajar di dalam institusi pendidikan. Sebagai contoh, melalui beberapa penglibatan pelajar dalam kokurikulum, sukan dan beberapa projek lain, pastinya guru menjadi ejen yang menyatukan pelajar dengan sikap toleransi dan bekerjasama merentasi pelbagai budaya.

Selain itu, dengan adanya karnival budaya yang diadakan dalam semua peringkat institusi pendidikan daripada peringkat sekolah hingga universiti, pastinya guru dapat menyemarakkan lagi penyatuan pelajar dengan wujudnya persilangan budaya. Walaupun, berhadapan dengan banyak cabaran dalam menyatukan pelajar-pelajar yang berbeza bangsa dan budaya, komitmen yang ditunjukkan oleh pendidik bergelar guru tidak pernah luntur.

Guru penyebar wacana ilmu
Ilmu pengetahuan merupakan perkara asas dalam pembinaan masyarakat bertamadun dan madani. Guru atau pendidik diangkat sebagai penyebar wacana ilmu untuk mendidik insan dengan intelektual yang cemerlang. Wacana ilmu terangkum dengan gaya fikir yang kritis, pembudayaan ilmu dan nilai intelektual yang holistik. Perkara ini dapat dilihat daripada sesi pembelajaran dan pengajaran di dalam kelas.

Guru sentiasa membimbing para pelajar untuk memahami, menilai dan berfikir dengan kritis melalui perbincangan yang diadakan di dalam kelas. Perkara ini secara tidak langsung akan melahirkan pelajar yang cemerlang, baik sahsiah mahupun akademik. Oleh itu, peranan guru sebagai penyebar wacana ilmu tidak dapat disangkal lagi dalam misi membangunkan masyarakat bertamadun dan berilmu tinggi.

Guru suri teladan membentuk generasi berintegriti
Peranan guru tidak terhenti di dalam kelas atau ruang mengajar, tetapi peranan guru sentiasa menjadi suri teladan dalam membentuk generasi walau di mana sahaja tanpa mengira masa. Guru dengan sikap dan perilaku yang baik pastinya akan menjadi ikutan para pelajar untuk membentuk sikap integriti terutamanya dalam pelbagai aspek dan moral.

Pengamalan sikap integriti seperti amanah, beretika mahupun jujur akan menjadi nilai tambah kepada generasi baharu, di samping meningkatkan kecemerlangan akademik. Situasi ini dapat dilihat, apabila guru mengajar perkara berkaitan dengan sejarah yang dapat mempupuk sikap tanggungjawab dan patriotisme dalam kalangan pelajar. Selain daripada pembelajaran secara teori, guru mesti menerapkan sikap integriti dalam tingkah laku.

Meraikan insan yang bergelar guru dan pendidik
Peranan guru begitu banyak jika perlu dicoretkan dan disenaraikan. Namun begitu, masyarakat perlulah membuka mata dengan penat lelah insan yang bergelar guru dalam mendidik generasi kini dan mendatang. Pelbagai usaha diketengahkan, begitu banyak masa dikorbankan dan pelbagai ilmu dicurahkan oleh insan bernama guru. Penghargaan kepada guru dan pendidik perlu diraikan dengan mempraktikkan segala ilmu yang dicurahkan.

Hal ini dapat membuktikan keberkesanan penyampaian ilmu oleh guru dalam apa jua cara. Oleh itu, marilah kita meraikan jasa dan pengorbanan guru dan semua pendidik yang telah menyampaikan ilmu sehingga menjadi insan yang terdidik dengan sahsiah dan integriti yang berwibawa seiring dengan pembangunan masyarakat madani. Memetik kata-kata Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim, “Tugas guru itu adalah untuk mendidik manusia sehingga adanya elemen kemanusiaan dalam diri masing-masing, maka seseorang itu mesti mempunyai rasa kasih dan sayang kepada guru.”

Penulis adalah Guru Bahasa Pusat Pengajian Bahasa, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here