KUALA LUMPUR – Pas menyuarakan sokongan terhadap gesaan agar tindakan tegas diambil ke atas mana-mana pihak yang tidak menunjukkan kepekaan terhadap simbol negara khususnya Jalur Gemilang.
Ia susulan peningkatan insiden melibatkan pengabaian atau kesilapan terhadap lambang kebangsaan itu, kata Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.
Menurutnya, Pas menyifatkan tindakan sedemikian perlu diambil tanpa memilih bulu, termasuk terhadap individu, organisasi media, parti politik dan juga agensi kerajaan yang terlibat.
“Pas mengongsi sentimen dan gesaan banyak pihak supaya siasatan dan tindakan tegas diambil bawah undang-undang ke atas mana-mana pihak yang gagal menunjukkan kepekaan dan rasa hormat sewajarnya terhadap simbol-simbol negara, termasuk Jalur Gemilang,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.
Isu itu timbul susulan beberapa insiden yang menunjukkan kecuaian terhadap penggunaan Jalur Gemilang yang tepat.
Antara yang terbaru, Pas Terengganu sendiri terlibat dalam kontroversi apabila logo rasmi Himpunan Teguh Memimpin Terengganu (TMT 1.0) 2025 memaparkan imej Jalur Gemilang yang tidak lengkap dengan bilangan bucu bintang dan jalur merah-putih yang tidak sempurna.
Mengakui kesilapan itu, Pas Terengganu telah membuat permohonan maaf terbuka dan segera membetulkan kesalahan tersebut.
Malah, tindakan dalaman juga telah diambil terhadap petugas yang terlibat dalam kesilapan berkenaan.
Namun begitu, Takiyuddin menegaskan permohonan maaf semata-mata tidak wajar dijadikan norma penyelesaian bagi insiden melibatkan lambang negara.
“Sejujurnya Pas bersetuju dan akur bahawa permohonan maaf semata-mata tanpa tindakan yang lebih tegas tidak boleh dinormalisasikan sebagai jalan penyelesaian bagi kesilapan sedemikian,” tegas beliau.
Pas turut menyatakan sokongan terhadap sebarang tindakan undang-undang yang diambil secara telus dan adil oleh pihak berkuasa, demi memastikan insiden serupa tidak berulang dan rakyat lebih peka terhadap simbol-simbol kebangsaan.
Sebagai sebuah parti politik, Takiyuddin menegaskan, Pas percaya penghormatan terhadap simbol negara adalah cerminan semangat patriotisme dan jati diri rakyat Malaysia.
“Pas percaya semua pihak wajib menunjukkan rasa hormat dan bangga tertinggi terhadap simbol-simbol negara pada setiap masa dan keadaan sebagai cerminan jati diri kebangsaan dan patriotisme kita,” katanya.
Isu ketidaktepatan penggunaan Jalur Gemilang bukan perkara baharu di Malaysia.
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, beberapa insiden membabitkan bendera Malaysia yang dipaparkan secara terbalik atau tidak lengkap telah mencetuskan kemarahan rakyat, menunjukkan betapa pentingnya kesedaran sivik terhadap simbol negara perlu sentiasa dipupuk dan dijaga.
Sebelum ini, akhbar Cina, Sin Chew Daily dihambat kontroversi berkaitan isu penyiaran ilustrasi Jalur Gemilang tidak lengkap di muka hadapan akhbar berkenaan. – MalaysiaGazette