PUTRAJAYA – Kempen agresif yang dilakukan oleh Rafizi Ramli pada Pemilihan Parti 2025 tidak akan mengeruhkan kedudukan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam kalangan ahli-ahlinya.
Ini kerana semua pimpinan di dalam parti berkenaan akhirnya akan bekerjasama dan bergandingan apabila tiba pilihan raya sebenar.
Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, tidak ada yang mustahil dalam politik terutamanya menjelang pemilihan parti.
“Parti Keadilan ni paling komanlah, 30 (kerusi menang dalam pilihan raya). Dalam tempoh sebelum ini sampai 2025 ini pemilihan parti berlangsung dengan macam-macam gaya macam-macam calon.
“Menang, kalah keluar parti segala macamlah. Tapi, pada akhirnya kayu ukur dia apa, parti tu masuk pilihan raya, rakyat terima atau tidak?
“Saya katakan bahawa untuk satu parti yang relatif ni baru la. Lepas UMNO, tapi bila masuk pilihan raya tu adalah kerusi paling sedikit yang dia dapat. Bermaksudnya keadilan ini adalah sebuah parti politik yang ada dalam landskap politik,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menyempurnakan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di sini, hari ini.
Saifuddin menjawab pertanyaan wartawan berhubung kempen Rafizi yang banyak memetik nama pemimpin-pemimpin tertentu dalam PKR dan implikasi terhadap ahli yang bakal mengundi pada pemilihan hujung bulan ini.
Sementara itu, ditanya mengenai pandangannya berhubung debat antara Rafizi dengan Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar Saifuddin menegaskan, debat itu perlu dilihat dari sudut yang bagaimana.
Katanya, PKR telahpun menjangkau usia 26 tahun dan pemilihan parti itu selalunya berlangsung dalam suasana yang meriah.
“Dia begini, debat ini satu kaedahlah dia bergantung kepada calon-calon untuk menyambut ataupun untuk menolaknya. Nama pun tawaran, bukan paksaan debat,” ujarnya. – MalaysaiGazette