Pengerusi Koperasi Permodalan Felda Malaysia Berhad (KPF) yang juga Timbalan Pengarah Besar Felda Datuk Mohd Banuri Aris bercakap pada sidang media berkaitan penjelasan terkini berhubung isu semasa yang sedang dihadapi oleh Koperasi Permodalan Felda (KPF) di Restoran Seri Kunyit, Kuala Lumpur. Foto MUHAIMIN MARWAN, 16 MEI 2025

KUALA LUMPUR – Koperasi Permodalan Felda Malaysia Berhad (KPF) memberi jaminan untuk melunaskan baki tunggakan permohonan penebusan syer ahlinya yang kini berjumlah lebih RM372.13 juta.

Sejak tahun 2022 hingga April 2025, KPF telah menerima sebanyak 29,159 permohonan penebusan melibatkan nilai keseluruhan mencecah RM691.58 juta.

Pengerusi KPF, Datuk Mohd Banuri Aris berkata,  daripada jumlah itu, sebanyak  RM319.44 juta telah berjaya dibayar kepada 18,783 pemohon.

Manakala baki melibatkan 10,376 permohonan masih dalam proses pembayaran secara berperingkat.

“Kita tidak pernah menolak tanggungjawab kepada anggota. Tapi kita harus realistik  permohonan dalam jumlah besar ini memberi tekanan terhadap aliran tunai KPF. Sebab itu kita ambil pendekatan bayar secara berfasa.

“Pembayaran akan dibuat mengikut giliran dan keutamaan diberikan kepada kes-kes kritikal seperti keperluan perubatan, pendidikan, ibadah haji dan umrah,” katanya dalam satu sidang media khas di sini, hari ini.

Walauupun KPF melalui cabaran sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kedudukan kewangannya kini menunjukkan prestasi yang lebih baik dan kukuh.

“Sejak ditubuhkan pada tahun 1980, kita tidak pernah mencatat kerugian dan ini bukti  kita tetap utuh meskipun bergelut dengan pelbagai cabaran.

“Bagi memastikan kelangsungan kewangan dan kelicinan urusan penebusan syer, KPF telah melaksanakan Pelan Rasionalisasi Aset Pelaburan yang melibatkan penjualan aset perladangan, pelupusan hartanah tidak strategik, serta penstrukturan semula pegangan dalam syarikat bersekutu.

“Manakala penjualan aset ladang dijangka selesai menjelang suku keempat tahun ini,” tambahnya.

Dalam pada itu, Mohd Banuri berterima kasih kepada Felda dan Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek yang banyak membantu memperluas potensi ekonomi KPF.

Ini termasuk pelantikan sebagai ejen tunggal pembelian buah tandan segar (BTS) dan pengurusan pusat mengumpul sawit (PMS) di seluruh rancangan Felda.

“Kami akan terus menjaga kepercayaan lebih 253,000 ahli aktif melalui tadbir urus yang telus serta libat urus yang berterusan.

“Oleh itu, semua pihak perlu bersatu dan memberi ruang kepada KPF untuk terus memacu pemulihan dan pembangunan demi masa depan bersama,” tambahnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here