KUALA LUMPUR – Koperasi Permodalan FELDA Malaysia Berhad (KPF) kini dalam proses menjual beberapa aset dan menyusun semula pelaburan dalam usaha menstabilkan aliran tunai dan menyelesaikan tunggakan permohonan pengeluaran saham oleh ahli.
Pengerusinya, Datuk Mohd Banuri Aris berkata, langkah tersebut merupakan sebahagian Pelan Rasionalisasi Aset Pelaburan yang melibatkan tiga strategi utama iaitu penjualan aset perladangan yang dijangka selesai menjelang suku keempat 2025, pelupusan hartanah yang tidak lagi menguntungkan dan penstrukturan semula pegangan dalam syarikat bersekutu.
“Kita dalam proses melepaskan beberapa hartanah milik koperasi. Penjualan ini tidak dilakukan sembarangan. Kita pastikan ia tidak rugi dan mampu beri pulangan,” katanya dalam satu sidang media khas hari ini.

Beliau turut menjelaskan antara fokus utama pelan berkenaan adalah menyelesaikan permohonan pengeluaran syer ahli yang tertunggak.
Selain itu, memastikan KPF mempunyai sumber pendapatan yang lebih mampan dalam jangka panjang.
“Kita mahu hasil daripada pelupusan ini dapat membantu selesaikan permohonan ahli dan pada masa sama menyumbang kepada pendapatan koperasi.
“Selain itu, beberapa hartanah termasuk bangunan dan rumah kedai yang dikenal pasti tidak strategik juga telah dijual, dan proses itu akan diteruskan,” tambahnya.
Sebagai usaha untuk menjana pendapatan yang lebih stabil, KPF kini juga memainkan peranan sebagai ejen pembelian buah sawit dalam kalangan peneroka Felda.
Diminta untuk mengulas mengenai bantuan yang diberikan kepada para ahli, Mohd Banuri menyatakan KPF masih menyalurkan bantuan kecemasan kepada mereka yang berdepan masalah kesihatan, tuntutan mahkamah atau urusan ibadah.
“Setakat ini, hampir RM6 juta telah disalurkan kepada ahli yang menunaikan haji tahun lalu melalui pengeluaran simpanan.
“Pelan yang sedang dilaksana ini bukanlah hanya untuk jangka pendek tetapi sebahagian daripada usaha mengubah pendekatan pelaburan koperasi agar lebih realistik dan lestari,” ujarnya. – MalaysiaGazette