KUALA LUMPUR – Malaysia merekodkan lebihan imbangan akaun semasa (CAB) RM16.7 bilion pada suku tahun pertama 2025, bersamaan 3.4 peratus daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) disokong oleh eksport bersih barangan dan defisit yang lebih kecil dalam pendapatan sekunder.
Sementara itu, akaun kewangan mencatatkan aliran keluar bersih sebanyak RM20.3 bilion, dipacu peningkatan aliran keluar dalam pelaburan portfolio sebanyak RM48.3 bilion berbanding RM42.0 bilion pada suku sebelumnya.
Pelaburan langsung asing (FDI) merekodkan aliran masuk bersih sebanyak RM15.6 bilion, manakala pelaburan langsung di luar negeri (DIA) mencatatkan aliran keluar bersih sebanyak RM3.5 bilion bagi suku tahun tersebut.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, lebihan akaun semasa pada suku tahun ini, didorong oleh eksport bersih barangan yang berjumlah RM38.5 bilion.
Eksport barangan mencecah RM283.2 bilion, mewakili penurunan sebanyak 4.0 peratus berbanding suku tahun sebelumnya.
Eksport utama barangan dari Malaysia adalah elektrik dan elektronik, produk petroleum dan jentera, kelengkapan & peralatan
dengan permintaan tinggi daripada rakan dagang terutamanya Singapura, Amerika Syarikat (AS) dan China.
Pada masa yang sama, import barangan menurun sebanyak 5.2 peritus berbanding suku sebelumnya yang merekodkan RM244.7 bilion disebabkan oleh pengurangan import barangan perantaraan, barangan modal dan barangan penggunaan.
Sumber utama import bagi Malaysia termasuk China, Singapura dan Taiwan.
Dari segi prestasi perkhidmatan, akaun ini mencatatkan defisit sebanyak RM3.4 bilion berbanding RM1.0 bilion pada suku sebelumnya.
Defisit yang semakin melebar disebabkan oleh penerimaan yang lebih rendah dalam perjalanan dan pembayaran yang lebih tinggi bagi perkhidmatan perniagaan lain serta caj penggunaan harta intelek.
Eksport perkhidmatan mencatatkan RM63.1 bilion, manakala import merekodkan RM66.5 bilion bagi suku semasa.
Perjalanan kekal sebagai penyumbang terbesar kepada eksport perkhidmatan dengan nilai RM24.5 bilion, menyumbang 38.8 peratus daripada jumlah eksport dalam akaun tersebut.
Bagaimanapun, perjalanan mencatatkan lebihan yang sedikit lebih rendah sebanyak RM10.9 bilion berbanding suku sebelumnya disebabkan oleh pengurangan perbelanjaan pelawat asing.
Sementara itu, pengangkutan pula adalah penyumbang utama bagi import perkhidmatan dengan menyumbang RM15.8 bilion, terutamanya pembayaran bagi aktiviti logistik.
Bagi akaun pendapatan, akaun pendapatan primer kekal stabil pada suku pertama 2025 dengan mencatatkan defisit RM17.1 bilion, iaitu perubahan kecil berbanding suku sebelumnya.
Defisit ini dipengaruhi oleh pendapatan lebih rendah sebanyak RM16.4 billion daripada pelaburan Malaysia di luar negeri, susulan pengurangan dalam pembayaran dividen oleh pelabur pada suku tersebut.
Pada masa yang sama, pelaburan asing di Malaysia mencatatkan pendapatan sebanyak RM31.0 bilion, berikutan pengurangan dalam pembayaran dividen.
Mohd Uzir menambah, akaun kewangan mencatatkan aliran keluar bersih yang lebih tinggi RM20.3 bilion berbanding RM9.3 bilion pada suku sebelumnya, didorong oleh peningkatan ketara dalam pelaburan portfolio.
Pelaburan ini merekodkan aliran keluar bersih RM48.3 bilion, meningkat daripada RM42.0 bilion pada suku sebelumnya, disumbangkan oleh langganan sekuriti ekuiti asing oleh residen Malaysia.
Sebaliknya, kedua-dua pelaburan langsung dan pelaburan lain mencatatkan aliran masuk bersih masing-masing sebanyak RM12.1 bilion dan RM17.6 bilion.
Sehingga akhir suku pertama 2025, kedudukan FDI terkumpul sebanyak RM999.7 bilion, manakala kedudukan DIA mencatatkan RM618.9 bilion.
Jumlah kedudukan aset kewangan negara bernilai RM2.51 trilion, melebihi jumlah liabiliti sebanyak RM2.47 trilion.
Sehubungan itu, kedudukan pelaburan antarabangsa (IIP) Malaysia merekodkan aset bersih sebanyak RM37.8 bilion. Rizab antarabangsa Malaysia berjumlah RM520.7 bilion setakat akhir Mac 2025. – MalaysiaGazette