TELUK INTAN – Pemandu lori muatan batu yang mengorbankan sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) Selasa lalu mengaku tidak bersalah atas sembilan pertuduhan memandu dengan cara berbahaya di Mahkamah Majistret Teluk Intan hari ini.
Tertuduh, Rudi Zulkarnain Mat Radi, 45, membuat pengakuan itu sebaik sembilan pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Norhamizah Shaiffuddin yang bertindak sebagai majistret.
Mengikut pertuduhan, dia yang masih bujang itu didakwa memandu sebuah lori jenis Hino dengan cara berbahaya kepada orang awam hingga menyebabkan kematian kepada sembilan individu.
Mereka adalah, Sarjan S Perumal, 44; Sarjan Mohd Roslan Abd Rahim, 46 tahun; Koperal Mohd Pozli Jaudin, 41; Koperal Nurit Ak Pandak, 34; Koperal Amiruddin Zabri, 38 tahun; Koperal Mohamad Hilmi Mohd Azlan, 38; Koperal Muhamad Akmal Muhamad, 35; Lans Koperal Damarrulan Abdul Latif, 33 serta Konstabel Akmal Wafi Annuar, 28.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Kilometer 15 Jalan Sungai Manik di daerah Hilir Perak pada pukul lebih kurang 9.05 pagi.
Justeru tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan boleh dihukum di bawah peruntukan yang sama.
Jika sabit kesalahan dia boleh dikenakan hukuman penjara antara lima sehingga 10 tahun dan denda antara RM20,000 sehingga RM50,000.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Izzuddin Fakri Hamdan sementara tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) S Francis.
Terdahulu ketika prosiding berlangsung Izzuddin Fakri menawarkan wang jaminan RM10,000 dikenakan terhadap tertuduh bagi setiap kes serta syarat tambahan penggantungan lesen sehingga kes selesai dan perlu melaporkan diri seminggu sekali di balai polis berhampiran dikenakan.
Francis memohon agar mahkamah menawarkan wang jaminan minima terhadap anak guamnya memandangkan lelaki dari Kampung Kota Hilir Perak itu menyara hidup sebagai pemandu lori dengan pendapatan RM2,000 sebulan.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM6,000 bagi semua pertuduhan, dengan membenarkan semua syarat tambahan seperti yang dikemukakan.
17 Jun depan ditetapkan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk pengurusan kes dan lantikan peguam.
Dalam kejadian pada pagi Selasa, lori yang dipandu lelaki itu bertembung dan merempuh trak yang membawa 18 anggota FRU yang sedang dalam perjalanan pulang ke Ipoh selepas selesai menjalankan tugas sempena perayaan Chitrapournami di sini.
Akibat kemalangan itu sembilan anggota FRU yang menaiki trak berkenaan maut, manakala sembilan lagi mengalami pelbagai kecederaan. – MalaysiaGazette