KUALA LUMPUR – Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan disifatkan sebagai antara pemimpin paling proaktif dalam memperkasa komuniti India dalam tempoh singkat.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sentosa, Gunaraj George, usaha Ramanan dalam tempoh tiga bulan lalu telah memperlihatkan komitmen luar biasa beliau terhadap pembangunan ekonomi komuniti India di Malaysia.
Katanya, dalam tempoh singkat itu sahaja, Ramanan telah melancarkan empat inisiatif utama bernilai RM256 juta yang memberi tumpuan khusus kepada usahawan India sejajar dengan aspirasi Malaysia Madani.
“Inisiatif seperti program pembiayaan melalui TEKUN Nasional, SME Bank dan Bank Rakyat telah membuka akses yang lebih mudah kepada modal dan sumber, yang menjadi halangan utama kepada pertumbuhan ramai usahawan kecil dan sederhana dalam kalangan masyarakat India.
“Di samping itu, pelaksanaan Program Pecutan Perniagaan India oleh SME Corp telah membina kapasiti dan kemahiran keusahawanan dalam kalangan golongan muda dan peniaga mikro.
“Semua usaha ini oleh Ramanan bukan sekadar suntikan kewangan semata-mata, tetapi juga mencerminkan dasar jangka panjang yang membawa impak sebenar kepada kehidupan rakyat. Beliau bukan sahaja sentuh dasar-dasar makro tetapi juga memahami keperluan sebenar komuniti di bawah,” katanya dalam kenyatan.

Tambahnya, pencapaian Ramanan ketika menerajui Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) sebagai Pengerusi Pasukan Petugas Khas pada tahun 2023 telah menjadi asas kukuh kepada kejayaan beliau hari ini.
Justeru, berdasarkan prestasi cemerlang dan rekod kepimpinan konsisten, Gunaraj menyatakan sokongan penuh terhadap pencalonan Ramanan sebagai salah seorang Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam pemilihan parti yang akan berlangsung minggu depan.
“Pengalaman beliau di lapangan, keupayaannya menjalin kerjasama dengan pelbagai agensi dan kejayaan dalam menyampaikan inisiatif berimpak tinggi menjadikan beliau calon paling layak untuk menduduki salah satu kerusi Naib Presiden PKR,” ujarnya
Jelasnya, masa depan parti bergantung kepada keberanian untuk menonjolkan pemimpin yang berjiwa rakyat dan komited untuk membawa agenda reformasi ke hadapan. -MalaysiaGazette