Foto Arkib MG - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berjabat tangan dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Program Debat Perdana di Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC), Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Pengerusi Urimai, P. Ramasamy mempertikaikan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mendakwa wujud ketaksuban melampau terhadap Datuk Seri Najib Razak dalam kalangan golongan progresif di Malaysia.

Beliau menegaskan, isu sebenar bukan ketaksuban terhadap Najib tetapi kegagalan kerajaan untuk bersikap telus dalam menangani permohonan pengampunan dan dakwaan mengenai tahanan rumah.

“Kerangka pemikiran ini bukan sahaja bersifat mengelirukan malah mengalihkan tumpuan daripada isu yang lebih penting iaitu peranan dan tindakan Perdana Menteri sendiri berkaitan pemenjaraan dan proses pengampunan Najib,” katanya dalam kenyataan.

P. Ramasamy

Ramasamy mengulas kenyataan Anwar masih ada sesetengah masyarakat yang taksub terhadap skandal 1MDB dan Najib yang kini berada dalam penjara yang melibatkan kerugian bernilai berbilion-bilion ringgit.

Beliau juga mempersoalkan tindakan Anwar yang menyerahkan permohonan Najib kepada Lembaga Pengampunan serta kegagalannya mendedahkan kewujudan adendum diraja di mana dokumen yang mencadangkan Najib menjalani baki hukuman di rumah.

“Bukankah Anwar sendiri yang enggan mendedahkan kewujudan addendum diraja sehingga ia dibongkar oleh pasukan guaman Najib?” soal Ramasamy.

Menurutnya, permintaan untuk pengampunan bukan satu bentuk ketaksuban.

“Adakah desakan rakyat untuk pengampunan diraja ke atas Anwar sendiri sewaktu beliau dahulu dipenjarakan tidak juga disuarakan dengan penuh semangat dan tuntutan?” soalnya lagi.

Ramasamy turut membangkitkan kelewatan melaksanakan titah adendum tersebut yang mencetuskan persoalan tentang komitmen kerajaan terhadap institusi diraja.

“Jika benar adendum itu wujud, mengapa kerajaan lambat melaksanakannya?” soalnya.

Malah beliau juga mempersoalkan sikap membisu sebahagian pemimpin UMNO dalam isu ini dan tidak menolak kemungkinan wujud kebimbangan politik.

Ramasamy turut menegaskan prinsip keadilan perlu ditegakkan secara konsisten tanpa dwi-standard politik.

“Mungkinkah kerana kebimbangan inilah sebahagian pimpinan UMNO, yang kini sebahagian daripada kerajaan, kelihatan membisu dalam usaha memperjuangkan pembebasan Najib?

“Jika ihsan ini boleh diberikan kepada Anwar, mengapa dianggap bermasalah jika dipertimbangkan untuk Najib?” soal Ramasamy lagi.

Sebelum itu, dalam wawancara bersama Al Jazeera, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempersoalkan mengapa rakyat terlalu fokus kepada skandal 1MDB sedangkan terdapat kes rasuah lain yang tidak diberi perhatian.

“Saya kata, kenapa begitu taksub dengan Najib dan 1MDB? Ada kes rasuah lain yang mereka tak sentuh langsung,” kata Anwar. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here