KUALA LUMPUR – Penyerang berbisa Selangor FC, Ronnie Fernandez mengumumkan perpisahan dengan Naib Juara Liga Super 2024-2025 itu pada musim depan.
Pengumuman itu dibuat pemain kelahiran Chile itu di media sosial sambil merakamkan ucapan terima kasih kepada Selangor kerana sudi menerima kehadirannya pada musim ini.
”Terima kasih Selangor FC kerana izinkan saya menjadi sebahagian dari kisah anda, semoga berjaya selalu,” tulisnya.
Untuk rekod, Ronnie tiba di Selangor pada awal musim 2024-2025 dan telah melakukan 33 penampilan bersama The Red Giant dalam semua kejohanan.
Pemain berusia 33 tahun itu turut mencetak 12 gol dan tiga bantuan jaringan. – MalaysiaGazette