Suruhanjaya Sekuriti Malaysia

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) hari ini mengenakan pertuduhan terhadap bekas Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan London Biscuits Berhad, Datuk Seri Liew Yew Chung di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas kesalahan berkaitan pemberian penyata kewangan palsu kepada bursa saham dan pemalsuan rekod sebuah syarikat tersenarai.

Liew menuntut dibicarakan bagi satu pertuduhan iaitu menyebabkan pemberian penyata kewangan palsu kepada Bursa Malaysia Securities Berhad pada 30 Ogos 2019.

SC dalam kenyataan berkata, pertuduhan dibuat mengikut seksyen 369(b)(B) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA).

Mengikut pertuduhan, kenyataan palsu berkaitan hasil terkumpul London Biscuits Berhad, berjumlah RM285,985,000, terkandung dalam laporan suku tahunan syarikat pada suku ketiga tempoh kewangannya yang berakhir pada 30 Jun 2019.

Liew didakwa melakukan kesalahan itu di bawah seksyen 367(1) CMSA kerana kedudukannya sebagai pengarah dan ketua eksekutif London Biscuits Berhad pada masa itu.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara selama tempoh tidak melebihi 10 tahun dan juga boleh didenda tidak melebihi RM3 juta.

Selain itu, Liew turut bedepan 12 pertuduhan di bawah seksyen 368(1)(a) CMSA kerana mengarahkan penciptaan transaksi palsu berhubung penjualan syarikat dalam rekod perakaunan London Biscuits Berhad antara Oktober 2018 dan Mac 2019.

Kesemua 12 transaksi palsu itu berjumlah RM2,354,430. Jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum penjara tidak melebihi 10 tahun dan juga boleh didenda tidak melebihi RM1 juta.

Liew menuntut dibicarakan untuk semua pertuduhan.

Hakim Mahkamah Sesyen Tuan Azrul Darus membenarkan tertuduh diikat jamin RM300,000 dengan dua penjamin tempatan bagi kesemua 13 pertuduhan.

Dia turut diperintahkan untuk menyerahkan pasportnya ke mahkamah dan melaporkan kepada Pegawai Penyiasat SC setiap dua bulan sekali.

“SC menegaskan pendedahan tepat berkaitan hal ehwal kewangan syarikat tersenarai awam penting dalam memastikan kepercayaan dan keyakinan dalam pasaran modal. Oleh itu, SC akan terus giat menjalankan penguatkuasaan untuk kesalahan seumpamanya,” katanya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here