KUALA LUMPUR – Usahawan di negeri Perak dipelawa menyertai Hari Eksport Perak 2025, sebuah program pembangunan pengeksport yang dianjurkan bersama oleh Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) dan Sekretariat Usahawan Negeri Perak (STeP).

Ia bakal berlangsung dari 10 hingga 11 Jun 2025 bertempat di Casuarina Convention Centre, Hotel Casuarina@Meru, Ipoh.

Ketua Pegawai Eksekutif Matrade, Datuk Mohd Mustafa Abdul Aziz berkata, Hari Eksport Perak 2025 akan memberikan pendedahan meluas kepada usahawan tentang potensi pasaran global, di samping akses kepada maklumat pasaran, kemudahan pembiayaan dan rangkaian sokongan eksport yang komprehensif.

Setakat 2024, seramai 260 usahawan Perak yang berdaftar dengan Matrade telahpun mengeksport dan kami harapkan melalui program ini lebih ramai akan berminat untuk menceburi bidang eksport.

“Program ini merupakan kesinambungan kepada kejayaan siri Hari Eksport pada tahun lalu yang telah dilaksanakan di lima negeri dan telah memanfaatkan lebih daripada 1,300 usahawan,” katanya dalam kenyataan di sini.

Selain Perak, Matrade akan memperluaskan inisiatif ini ke Sarawak, Selangor dan Negeri Sembilan sebagai langkah membangunkan lebih usahawan pengeksport.

Pelancaran Hari Eksport Perak 2025 akan disempurnakan oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, serta dihadiri oleh Pengerusi Matrade, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dan Mohd Mustafa.

Antara pengisian utama yang ditawarkan kepada peserta termasuk taklimat peluang pasaran antarabangsa, strategi kesediaan mengeksport, pembiayaan perdagangan dan insurans eksport, dokumentasi eksport, keperluan logistik dan sokongan teknikal.

Selain itu, terdapat juga kaunter khidmat nasihat syarikat tempatan yang terlibat di dalam ekosistem eksport bagi membantu memperkasakan pembangunan kapasiti syarikat.

Matrade dan STeP Perak menyeru penyertaan usahawan terutama PMKS, usahawan wanita dan belia dari pelbagai sektor seperti halal, teknologi, pembuatan dan perkhidmatan untuk merebut peluang menyertai program Hari Eksport ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here