Tun Ramli Ngah Talib menyempurnakan Majlis Perasmian Sambutan Hari Penjara ke-235 yang dihadiri Saifuddin di Padang Kota Lama, Pulau Pinang hari ini.

GEORGE TOWN – Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mendedahkan enam buah penjara di negara ini berada dalam keadaan usang dan memerlukan perhatian segera bagi memastikan kebajikan dan keselamatan kepada prospek.

Jelas Saifuddin, enam penjara tersebut adalah Penjara Seremban di Negeri Sembilan; Taiping, Perak; Pengkalan Chepa, Kelantan, dan Penjara Pulau Pinang.

Tegasnya, kekangan kewangan menjadi cabaran utama kementerian dalam merealisasikan penggantian penjara-penjara usang tersebut.

“Antara isu ketara yang berlaku di penjara usang ialah kemudahan asas seperti penggunaan tandas curah yang tidak lagi sesuai digunakan pada zaman ini. Walaupun kecil bilangannya tapi tetap ada tandas uzur yang dirasakan tidak manusiawi.

Saifuddin (kanan) bersama Shamsul Anuar pada sidang media di Pulau Pinang hari ini.

“Apakah ada keperluan mendesak untuk bangunkan penjara, menggantikan penjara usang? Jawapannya ya. Apakah kita ada keupayaan kewangan? Jawapannya mestilah tidak,” katanya kepada pemberita hari selepas menghadiri Majlis Sambutan Hari Penjara ke-235 di Padang Kota Lama, di sini, hari ini.

Lafaz perasmian majlis tersebut disempurnakan Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ramli Ngah Talib.

Hadir sama, Timbalan Menteri KDN, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah dan Komisioner Jeneral Penjara Datuk Abdul Aziz Abdul Razak.

Mengulas lanjut Saifuddin berkata, untuk menyelesaikan masalah tersebut, Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang berusaha mendapatkan peruntukan pembangunan (development expenditure), namun terpaksa bersaing dengan keperluan kementerian lain.

Bagaimanapun, dalam usaha mencari penyelesaian alternatif, Saifuddin berkata, pihaknya meneroka kaedah penggantian penjara usang menerusi pendekatan penswastaan seperti ‘land swapping’ (pertukaran tanah).

Datuk Ahmad Azhar atau Awie menerima sijil penghargaan daripada Tun Ramli pada majlis tersebut.

“Ini kekangan utama yang dihadapi KDN apabila perlu bersaing dengan kementerian-kementerian lain untuk memperoleh peruntukan yang dibuat mengikut keutamaan oleh Kementerian Ekonomi.

“Misalnya, Menteri Pendidikan kata terdapat 12,000 sekolah daif, saya pula kata balai polis usang pun banyak dan diikuti dengan JKR yang memaklumkan terdapat bangunan usang. Jadi nak harap kepada peruntukan pembangunan, kami kena bersaing.

“Saya yang mempengerusikan Jawatankuasa Penswastaan Projek KDN akan turut meneliti bagaimana penglibatan swasta dapat membangunkan tanah milik KDN yang diperuntukkan oleh Pesuruhjaya Tanah Persekutuan untuk pembinaan penjara baharu berdasarkan penilaian pembangunan tanah,” katanya.

Untuk rekod, negara mempunyai 43 buah penjara dan hanya enam daripadanya dikenal pasti terlalu usang. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here