KUALA LUMPUR – Bekas pemimpin DAP, P. Ramasamy mempersoalkan sama ada terdapat dua versi pengampunan diraja yang melibatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dahulu dengan situasi bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika ini.
Menurut beliau, persoalan itu menjadi semakin relevan berikutan kontroversi permohonan pengampunan Najib, yang kini sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun berikutan sabitan dalam kes SRC International.
Menurut beliau, permohonan Najib telah disemak serta sebahagiannya diluluskan oleh Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan (FTPB), mengakibatkan pengurangan hukuman dan bukannya pengampunan penuh.
Dalam masa sama, dakwanya, kerajaan di bawah pentadbiran Anwar secara konsisten menegaskan proses itu adalah mengikut Perlembagaan dan mematuhi prosedur seperti yang diperuntukkan di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.
Bagaimanapun, ujar beliau, sebelum kejatuhan kerajaan Barisan Nasional (BN), satu konsensus telah terbentuk dalam kalangan pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang mana jika gabungan itu memenangi pilihan raya, Anwar akan diberikan pengampunan penuh, seterusnya mengambil alih jawatan Perdana Menteri daripada Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam tempoh dua tahun.
“Di sinilah timbul percanggahan yang jelas, adakah pengampunan Anwar pada 2018 juga diteliti dan disyorkan oleh FTPB atau adakah ia dipercepatkan berdasarkan konsensus politik dan budi bicara diraja?
“Jika pengampunan Anwar sebenarnya diberikan tanpa melalui FTPB, ini menimbulkan persoalan serius tentang keseragaman dan integriti proses pengampunan di Malaysia.
“Bolehkah seorang perdana menteri kini mendakwa proses dalam kes Najib mematuhi prosedur secara sah, jika pengampunannya sendiri pernah “melangkaui” proses yang sama?” katanya menerusi catatan di laman sosial Facebook beliau hari ini.
Tambah Ramasamy yang juga Pengerusi Penaja Parti Bersepakat Untuk Hak Rakyat Malaysia (Urimai), rakyat Malaysia berhak mendapat penjelasan dan ketelusan berhubung perkara tersebut.
Jelasnya, orang ramai perlu diyakinkan bahawa proses pengampunan tidak tertakluk kepada kepentingan politik atau pelaksanaan secara terpilih.
“Kemungkinan wujudnya dua laluan berbeza iaitu satu untuk Anwar dan satu lagi untuk Najib tidak boleh diketepikan begitu sahaja,” katanya.
Sementara itu, tambah beliau, sebagai antara tokoh utama dalam peristiwa tahun 2018, hanya Dr Mahathir boleh menjelaskan secara pasti sama ada pengampunan diraja untuk Anwar telah diproses melalui FTPB atau diberi semata-mata atas dasar konsensus politik dan budi bicara raja.
“Sehingga itu, persoalan mengenai keadilan dan konsistensi Perlembagaan akan terus menghantui integriti institusi kita, khususnya proses pengampunan di bawah Perkara 42 tidak boleh dikompromi demi kepentingan politik,” katanya. – MalaysiaGazette