PDRM police Nilai stepfather drugs boy Tanjung Sepat Selangor Exco Raya celebration
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Dua warga Singapura ditemukan mati di sebuah inap desa (homestay) di Cheras di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Cheras, ACP, Aidil Bolhassan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung perkara berkenaan pada 12.53 tengah hari memaklumkan seorang lelaki berusia 43 tahun dan seorang wanita berusia 33 tahun ditemukan tidak sedarkan diri di dalam sebuah bilik di sebuah inap desa di Jalan Nadchatiram, Taman Taynton View, Cheras oleh pekerja inap desa itu.

Beliau berkat,a pemeriksaan polis terhadap mayat kedua-dua individu itu mendapati tiada sebarang kecederaan luaran pada bahagian badan mereka selain lengkap berpakaian dan tiada sebarang unsur jenayah.

Keadaan kedua-dua mayat juga katanya, telah mulai mereput dan berbau busuk.

“Pemeriksaan lanjut di sekitar kawasan tempat mayat ditemukan mendapati penyaman udara telah dibalut dengan plastik sampah berwarna biru dan tingkap ditutup dengan plastik sampah yang ditampal dengan pita pelekat.

“Pemeriksaan juga mendapati terdapat sisa arang yang telah dibakar di dalam bekas pemanggang dan terdapat dadah disyaki jenis ketamin di dalam piring di bilik berkenaan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Aidil berkata, pihaknya telah merakamkan keterangan seorang pekerja wanita inap desa berkenaan yang memaklumkan pada 11 pagi dia mendapati pintu hadapan inap desa didiami warga Singapura itu berkunci dan kasut kepunyaan kedua-dua individu berkenaan masih berada di situ.

Menurut Aidil, wanita berkenaan kemudian mengetuk pintu beberapa kali, tetapi tiada jawapan sebelum menghubungi pengurus inap desa bagi memaklumkan perkara terbabit.

“Pengurus itu kemudian mengarahkan pekerja itu membuka pintu hadapan dengan kunci pendua, apabila dia masuk ke dalam rumah itu, didapati penyaman udara, kipas siling dan televisyen dalam keadaan terpasang di ruang tamu.

“Wanita itu kemudian pergi ke bilik ketiga di inap desa berkenaan dan mendapati terdapat pelekat di sekeliling pintu manakala tingkap ditutup dengan plastik kanvas. Dia telah mengetuk pintu bilik beberapa kali, namun tiada jawapan, dan pintu juga sukar dibuka kerana dihalang oleh pita pelekat.

“Kemudian, pekerja itu membuka tingkap bilik dan terlihat kedua-dua si mati dalam keadaan terbaring di atas katil tidak sedarkan diri serta keadaan di dalam bilik berbau busuk,” katanya dan menambah pemeriksaan di lokasi kejadian mendapati tiada liputan rakaman kamera litar tertutup (CCTV).

Aidil berkata, Penolong Pegawai Perubatan dari Hospital Canselor Tunku Muhriz (HCTM) yang berada di lokasi telah mengesahkan kematian kedua-dua individu berkenaan pada 2.22 petang dan mayat dihantar ke HCTM untuk bedah siasat. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here