KUALA LUMPUR – Persatuan Bola Tampar Malaysia (MAVA) mengecam sekeras-kerasnya laporan tidak profesional dan tidak bertanggungjawab media tertentu berkenaan prestasi dan saiz fizikal atlet bola tampar pantai belia negara yang menyertai AVC Beach Volleyball Tour Pingtan Open di China.
MAVA dalam kenyataan berkata, laporan itu bukan sahaja tidak seimbang dan disensasikan, malah mengundang serangan peribadi dan penghinaan fizikal secara meluas terhadap atlet muda negara di media sosial.
Sambil melahirkan rasa kesal dengan laporan itu, tambah MAVA, ia juga tidak bertanggungjawab dan melanggar etika kewartawanan apatah lagi melibatkan atlet di bawah umur.
“Walaupun kami menghargai semangat dan keprihatinan yang ditunjukkan oleh rakyat Malaysia terhadap prestasi atlet negara, namun kami amat kecewa dengan segelintir komen yang dibuat secara dalam talian.
“Serangan peribadi, penghinaan fizikal dan perbandingan yang tidak wajar bukan sahaja tidak profesional, malah menunjukkan kurangnya rasa hormat terhadap dedikasi dan pengorbanan yang telah dilakukan oleh atlet muda negara,” katanya.
Tambahnya, sebagai sebuah persatuan kebangsaan, atlet MAVA telah memperoleh tempat di pentas antarabangsa melalui kerja keras, merit, dan kecemerlangan yang konsisten.
Malah, katanya, Malaysia berjaya melayakkan diri ke Kejohanan Dunia Bola Tampar Pantai selama tiga tahun berturut-turut sejak 2022.
“Atlet negara mula layak ke Kejohanan Dunia Bola Tampar Pantai U19 FIVB yang diadakan di Turkiye pada 2022.
“Pada 2023, mereka layak secara merit ke Kejohanan Dunia Bola Tampar Pantai U21 FIVB di Roi Et, Thailand.
“Pada 2024, mereka meneruskan pencapaian tersebut dengan layak buat tahun ketiga berturut-turut ke Kejohanan Dunia Bola Tampar Pantai U19 FIVB di Guangzhou, China iaitu satu pencapaian yang menunjukkan hala tuju dan impak positif program kebangsaan kita,” katanya.
Sehubungan itu, tambahnya, MAVA berdiri teguh bersama pemain-pemain mereka dan tidak akan bertolak ansur dengan sebarang bentuk penyalahgunaan, sama ada secara dalam talian atau luar talian, yang ditujukan kepada mereka.
Dalam masa sama, katanya, MAVA menyeru pengamal media lebih profesional dan peka, serta menggesa orang ramai lebih beradab dan hormat, khususnya apabila berinteraksi dengan atlet belia yang mewakili harapan masa depan sukan negara.
“Kami menyeru semua pihak termasuk media memainkan peranan yang lebih bertanggungjawab dalam menyokong dan melindungi maruah atlet muda negara.
“Kami juga menggesa orang ramai untuk bertanggungjawab dan berhemah dalam memberikan komen,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan pasukan bola tampar wanita remaja negara terpaksa akur selepas mengakhiri cabaran hanya sekadar di peringkat kumpulan selepas gagal mengutip mata di Terbuka Pingtan AVC di China.
Atlet berkenaan, Nur Azwa Qariesya Mohammad Noor Aizuddin dan Rachael Goh tewas dengan pasukan lawan dari China 0-2 dan juga Jepun 0-2.
Bagaimanapun, saiz tubuh badan atlet Malaysia berkenaan berbanding atlet luar dipertikaikan orang ramai kerana menunjukkan perbezaan yang sangat ketara, sekali gus menyifatkan mereka tidak sesuai untuk sukan bola tampar pantai kerana memerlukan ketahanan dan ketangkasan yang kuat. – MalaysiaGazette