KUALA LUMPUR – Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia menyokong inisiatif yang dilakukan pihak berwajib di Terengganu dalam menyampaikan mesej pencegahan terhadap perlakuan homoseksual dan seks bebas melalui pemasangan papan tanda yang bersifat mendidik.
Presidennya, Prof. Dr. Jamalludin Ab Rahman berkata, langkah itu merupakan sebahagian daripada usaha pendidikan kesihatan awam bertujuan memelihara nilai moral masyarakat serta mencegah penularan penyakit berjangkit seperti HIV.

Menurut beliau, statistik terkini Global AIDS Monitoring (GAM) Report 2024 yang diterbitkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) menunjukkan lebih 75 peratus kes baharu HIV pada 2022 berlaku dalam kalangan individu berumur 20 hingga 39 tahun.
Jelasya, trend jangkitan juga telah berubah secara signifikan, daripada penggunaan jarum suntikan kepada penularan melalui hubungan seksual tanpa perlindungan sebagai punca utama.
“Lebih membimbangkan, National Health and Morbidity Survey (NHMS) 2022: Adolescent Health Survey melaporkan bahawa 5.7 peratus remaja sekolah menengah di Malaysia telah melakukan hubungan seks dalam tempoh 30 hari, manakala 7.6 peratus pernah melakukan hubungan seks.
“Ini menggambarkan bahawa tingkah laku seksual berisiko kini semakin meresap ke dalam kalangan pelajar dan remaja,” katanya dalam satu kenyataan.
Sebelum ini, tular di media sosial satu papan tanda yang memaparkan dua figura lelaki berpegang tangan sambil dikelilingi api bersama ayat al-Quran yang melarang hubungan sejenis berhampiran Universiti Malaysia Terengganu (UMT).
Bagaimanapun, papan tanda itu dikecam kumpulan hak asasi yang menyifatkannya sebagai penyalahgunaan agama terhadap komuniti LGBTIQ, wanita dan golongan minoriti.
Sementara itu, tambah Dr. Jamalludin, pendidikan pencegahan seperti menaikkan papan tanda amat penting untuk memastikan golongan muda memahami risiko sebenar yang berkait dengan hubungan seksual bebas dan songsang, termasuk jangkitan HIV dan penyakit kelamin lain.
“Sebagaimana kita melarang dan mencegah masyarakat daripada menghampiri dadah, rokok dan vape kerana mudarat kesihatan yang terbukti, kita juga perlu tegas dan jelas dalam mendidik masyarakat agar menjauhi perlakuan seks berisiko,” katanya.
Dalam masa sama, beliau menyeru semua pihak termasuk institusi pendidikan, ibu bapa, pemimpin masyarakat, profesional kesihatan dan organisasi masyarakat sivil bekerjasama memperkukuh pendidikan pencegahan itu.
“Hanya dengan pendekatan bersepadu yang berteraskan ilmu, nilai dan tanggungjawab sosial, kita dapat membina generasi yang sihat, berakhlak dan bermaruah,” tambahnya. – MalaysiaGazette