JOHOR BAHRU – Pasangan alumni Universiti Teknologi Malaysia (UTM) mencipta nama di peringkat antarabangsa apabila tersenarai dalam Forbes 30 Under 30 Asia 2025 menerusi kejayaan mereka dalam bidang teknologi kandungan digital.
Graduan Fakulti Kejuruteraan Elektrik, Eswaran Mohan dan graduan Fakulti Sains, diiktiraf dalam kategori Media Sosial, Pemasaran & Pengiklanan, Renuga Nair, menghasilkan pencapaian luar biasa syarikat mereka, Exar Technologies.
Pejabat Strategi dan Hal Ehwal Korporat UTM Johor Bahru dalam kenyataan memberitahu, syarikat berpusat di Selangor itu diasaskan pasangan berkenaan ketika masih menuntut di UTM pada 2018 dan kini muncul sebagai antara peneraju rantau dalam bidang realiti terimbuh (AR) dan kandungan digital imersif.
Menurut UTM, sehingga kini, perkhidmatan Exar Technologies telah digunakan lebih 50 jenama multinasional termasuk Nestlé, Fujitsu, Honda dan FoodPanda, menerusi penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI), AR dan realiti maya (VR).
“Malah, syarikat itu turut mencipta sejarah apabila dipilih sebagai rakan rasmi lensa Snapchat pertama di Asia dalam kalangan pencipta global platform tersebut.
“Pencapaian itu meletakkan mereka sebaris dengan Arif Thukiman, pengasas RunCloud yang juga alumni UTM dan pernah tersenarai dalam Forbes pada 2020,” menurut kenyataan berkenaan hari ini.
Sementara itu, Naib Canselor UTM, Prof Dr Mohd Shafry Mohd Rahim berkata, kejayaan Eswaran dan Renuga mencerminkan keupayaan UTM melahirkan graduan yang berkualiti tinggi serta bersedia mencipta impak di peringkat global.
“Ini merupakan detik yang membanggakan buat UTM. Kejayaan Eswaran dan Renuga mencerminkan kekuatan ekosistem akademik dan inovasi kami dalam membentuk graduan yang bukan sahaja berkemahiran tinggi, malah berjiwa keusahawanan serta mampu bersaing di peringkat global.
“Di UTM, kami terus memupuk budaya pembelajaran yang memperkasakan pelajar untuk mencipta penyelesaian yang mampan, berimpak tinggi dan berteraskan kemanusiaan demi masa depan,” ujarnya dalam kenyataan tersebut.
Pencapaian pasangan itu ujar beliau, adalah hasil sokongan Sekolah Pengajian Prasiswazah (UGS) dan Pusat Inovasi Pelajar serta Keusahawanan Teknologi (UTM XCITE), selain suasana pembelajaran kondusif di ketiga-tiga kampus; Johor Bahru, Kuala Lumpur dan Pago yang turut menyumbang kepada kejayaan tersebut.
Pengiktirafan antarabangsa itu juga katanya, mengukuhkan lagi peranan UTM sebagai institusi yang berjaya melahirkan pemimpin teknologi masa depan.- MalaysiaGazette