GEORGE TOWN – Draf berkaitan pindaan Akta Penjara 1995 yang turut melibatkan penggubalan akta baharu berkaitan tahanan rumah akan dibentangkan di Parlimen pada sesi akan datang.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kerangka pindaan akta tersebut kini dalam proses semakan Jabatan Peguam Negara.
Jelas beliau, beberapa garis panduan dan peraturan pelaksanaan akan dibangunkan dengan teliti bagi memastikan keberkesanan dan keselamatan semua pihak terjamin.
“Pertama, kita akan bentang di Parlimen Akta Penjara ini dan mengenai tahanan rumah iaitu pada Julai dan Oktober pada tahun ini supaya kita tidak salah tanggap.
“Dalam penjara sekarang ada 81,000 (tahanan) dan 27,000 adalah (tahanan) reman yang terbahagi kepada dua iaitu kesalahan berat dengan bukan kesalahan berat.
“Jadi kalau kita buat tahanan rumah, pertama sasaran kita adalah mereka yang direman supaya mereka boleh berada bersama keluarga dan kita pakaikan peranti percubaan jadi itu lebih manusiawi,” katanya kepada pemberita hari selepas menghadiri Majlis Sambutan Hari Penjara ke-235 di Padang Kota Lama di sini, hari ini.
Lafaz perasmian majlis tersebut disempurnakan Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ramli Ngah Talib.
Hadir sama, Timbalan Menteri KDN, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah dan Komisioner Jeneral Penjara Datuk Abdul Aziz Abdul Razak.

Tambah beliau, pindaan Akta Penjara itu akan menyediakan asas undang-undang untuk pelaksanaan tahanan rumah yang lebih bersifat manusiawi bagi membolehkan banduan menjalani hukuman dalam komuniti, sekali gus membantu mengurangkan kesesakan dalam penjara.
Sementara itu, dalam perkembangan sama Saifuddin berkata, kerajaan juga merancang meminda Akta Perintah Kehadiran Wajib bagi meluaskan skop hukuman ringan kepada mereka yang menjalani hukuman sehingga 10 tahun penjara, berbanding had semasa tiga hingga empat tahun.
“Kita beralih dari pendekatan menghukum kepada pendekatan yang menumpukan pada pembetulan dan pemulihan.
“Terdapat perbezaan ketara dalam kadar pengulangan jenayah, di mana 12 daripada setiap 100 banduan akan mengulangi kesalahan, tetapi hanya seorang daripada 800 peserta program berasaskan komuniti yang berbuat demikian,” katanya. – MalaysiaGazette