KUALA LUMPUR – Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) menyifatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai terlalu obses dengan retorik ‘bilion-bilion’, tanpa memperlihatkan sebarang tindakan konkrit dalam usaha memerangi rasuah dan penyelewengan kuasa.
Ketua Penerangannya, Rafique Rashid berkata, kenyataan terbaru Perdana Menteri dalam wawancara bersama Al Jazeera menerusi program East 101 jelas menunjukkan kegagalan beliau memberikan jawapan meyakinkan, khususnya apabila ditanya peranannya dalam isu pengampunan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
“Sebaliknya, dialihkan pandangan bahawa semua orang obses kepada Najib Razak. Katanya Najib Razak sudah dalam penjara. Tambahnya, ramai lagi yang pernah jadi Perdana Menteri , Menteri Kewangan serta “crooks” yang hilangkan bilion-bilion perlu dibawa ke muka pengadilan.
“Obsesi Perdana Menteri nampaknya hanya bercakap tanpa merasai apa yang rakyat lihat dan sedar.
“Kalau betul-betul Perdana Menteri mahu lawan rasuah dan salah guna kuasa, mengapa lanjutkan tempoh Azam Baki sebagai Pesuruhjaya SPRM? Dulu hendak tangkap sekarang dakap?
“Begitu juga dengan kerjasama terbuka bersama GRS di Sabah, ketika gabungan itu sendiri sedang bergelut dengan skandal video yang mencemarkan pentadbiran,” katanya dalam laman Facebook beliau.
Katanya, rakyat kini semakin sedar akan sikap ‘dua darjat’ dalam sistem keadilan apabila pesalah elit dilihat mendapat layanan berbeza berbanding orang biasa.
Rafique turut menyelar tindakan Anwar yang berterusan mendakwa beliau pelopor perjuangan menentang 1MDB, sedangkan usaha sebenar dimulakan oleh rakyat dan gabungan Pakatan Harapan 1.0 yang berjaya menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional dalam PRU14.
“Waktu itu, beliau masih di penjara. Tanpa mandat rakyat pada 9 Mei 2018, Anwar tidak akan mendapat pengampunan pada 14 Mei 2018. Maka, janganlah terus memperbodoh rakyat dengan slogan hendak lawan kononnya ramai lagi yang mesti pulangkan bilion-bilion.
“Henti obsesi atau henti jadi Perdana Menteri,” ujarnya. – MalaysiaGazette