Beliau berkata, potensi penurunan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan (Fed) dan penyusutan hasil bon AS boleh menyebabkan dolar AS menjadi lebih lemah.
“Data AS terkini menunjukkan ia di bawah jangkaan, meningkatkan harapan untuk pemotongan kadar faedah yang memberi tekanan kepada dolar AS. Angka Indeks Harga Pengguna (IHP) dan Indeks Harga Pengeluar (PPI) AS yang lebih rendah telah meningkatkan harapan bahawa Fed mungkin memotong kadar faedah lebih awal daripada yang dijangkakan.
“Walaupun Fed belum mengesahkan sebarang perubahan, pasaran sudah mula menyesuaikan jangkaan mereka,” katanya kepada Bernama.
Innes berkata, pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia pada suku pertama sebanyak 4.4 peratus, walaupun sedikit di bawah unjuran, ia selaras dengan sasaran kerajaan dan tidak memberi kesan besar kepada mata wang tempatan.
“Perhatian pasaran kini bertumpu kepada risiko masa depan, terutamanya dari AS dan bukannya daripada data yang lepas,” tambahnya.
Ringgit menutup minggu dagangan ini sedikit tinggi berbanding dolar AS, dengan ditutup pada 4.2900/2980 pada Jumaat berbanding 4.2970/3005 pada minggu sebelumnya.
Mata wang tempatan itu diniagakan kebanyakannya lebih tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.
Ringgit mengukuh berbanding euro kepada 4.8022/8112 pada penutup Jumaat daripada 4.8320/8359 pada minggu lalu dan meningkat berbanding yen Jepun kepada 2.9470/9527 daripada 2.9565/9591 sebelum ini.
Bagaimanapun, ia susut berbanding pound Britain kepada 5.7018/7125 daripada 5.7004/7050 minggu sebelumnya.
Ringgit juga diniagakan kebanyakannya lebih tinggi berbanding mata wang di negara-negara ASEAN.
Ringgit mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.3041/3105 pada Jumaat daripada 3.3095/3124 seminggu sebelumnya, meningkat berbanding baht Thailand kepada 12.9003/9318 daripada 13.0082/0267 sebelum ini dan menokok berbanding peso Filipina kepada 7.71/7.73 daripada 7.74/7.76.
Sementara itu, mata wang berkenaan merosot berbanding rupiah Indonesia kepada 260.8/261.5 daripada 260.0/260.4 pada minggu lalu. – BERNAMA