Saifuddin.

GEORGE TOWN – Rundingan pembahagian kerusi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah dilaksanakan dalam dua bentuk iaitu secara formal dan tidak formal melibatkan parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan, kata Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, kerusi yang berlaku pertembungan dua atau tiga penjuru akan dikenal pasti sebelum dibawa ke meja rundingan untuk diputuskan bersama.

“Proses rundingan kerusi ini berlaku dalam dua bentuk iaitu formal dan tidak formal. Masing-masing parti yang dah setuju dengan coalition akan hantar wakil.

“Bagi proses formal ia membabitkan PH, Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dengan menyatakan jumlah kerusi yang ingin ditandingi, sebelum dipadankan bagi melihat kawasan mana yang tiada pertembungan.

“Manakala rundingan tidak formal pula, contohnya kerusi yang secara tradisinya BN bertanding dan yang mencabar hanya PH, maka kami hanya duduk berbincang antara dua pihak sahaja,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri sambutan Hari Penjara Ke-235 di Padang Kota Lama, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut beliau berkata, satu pertemuan antara PH dan BN yang dipengerusikan Perdana Menteri telah berlangsung minggu lalu bagi memulakan rundingan bagi kerusi-kerusi membabitkan dua parti terbabit.

“Kerusi yang tidak berlaku pertembungan akan terus diasingkan manakala bagi kerusi yang mempunyai pertindihan sama ada dua atau tiga penjuru dibawa ke meja rundingan untuk keputusan lanjut.

“Bagaimanapun, apa-apa keputusan mengenai pembahagian kerusi secara keseluruhan akan dimuktamadkan secara kolektif membabitkan semua parti dalam gabungan Kerajaan Perpaduan termasuk GRS menerusi rundingan kelak,” katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata, kerjasama antara Pakatan Harapan (PH) Sabah, Barisan Nasional (BN) Sabah dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) masih di peringkat perbincangan dan belum dimuktamadkan.

Katanya, kenyataan berhubung kesepakatan PH, BN Sabah sebelum ini hanya di peringkat antara kedua-dua parti itu dan belum melibatkan GRS. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here