Saifuddin.

GEORGE TOWN – Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menafikan dakwaan wujud amalan politik wang dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) seperti yang dibangkitkan oleh calon Timbalan Presiden parti itu, Datuk Seri Rafizi Ramli.

Beliau yang juga anggota Biro Politik PKR berkata, setakat ini tiada sebarang aduan rasmi diterima oleh lembaga disiplin parti berhubung isu tersebut.

“Saya tak fikir Parti Keadilan (PKR) berada pada tahap itu. Saya tak nampak wujudnya perbuatan menggunakan wang bagi mendapatkan sokongan.

“Bagaimanapun, saya tak menafikan penggunaan wang untuk tujuan logistik seperti menganjurkan program, sewa khemah, membayar bilik hotel atau restoran terutama dalam keadaan sekarang di mana kemampuan kewangan sesetengah calon sudah meningkat berbanding zaman awal penubuhan parti.

“Berbanding zaman susah dulu, tahun 1998-1999, masa itu Rafizi masih belajar dan saya dah jadi pengasas parti. Kami buat program di warung atau rumah, kongres parti pun di dewan sekolah Cina,” katanya.

Beliau menyatakan demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai dakwaan Rafizi parti itu berdepan risiko amalan politik wang yang dianggap sebagai salah satu bentuk rasuah paling sukar dibuktikan.

Mengulas lanjut, Saifuddin menegaskan agar kempen tidak dijalankan secara berlebihan hingga menimbulkan persepsi negatif dalam kalangan masyarakat.

Selain itu, beliau turut menyeru ahli parti yang mempunyai bukti wujud amalan politik wang supaya tampil membuat laporan rasmi kepada lembaga disiplin.

“Jamuan hotel lima, enam bintang, semua itu tak wajar. Saya tolak sama sekali. Masyarakat sekarang sangat sensitif. Tak boleh ada pendekatan politik macam itu, apatah lagi dalam parti yang memerintah.

“Saya menggesa ahli atau anggota parti, kalau ada bukti tentang pelakuan sebegitu, segera buat laporan kepada lembaga disiplin kerana peraturan dalam kelembagaan parti sangat jelas, ada garis panduan apa yang boleh dan tidak boleh.

“Selain itu, kekuatan sesebuah parti politik tidak sepatutnya dibina berasaskan dana sebaliknya perlu menyuntik idealisme kepada rakyat agar menerima perjuangan yang dibawa,” katanya.

Media hari ini melaporkan calon Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli mengakui parti itu berdepan risiko amalan politik wang yang dianggap sebagai salah satu bentuk rasuah paling sukar dibuktikan.

Katanya, selain PKR, parti yang menjadi pemerintah atau kerajaan turut berdepan dengan risiko tersebut termasuk salah guna kuasa. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast