Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari.

KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan Pas Pusat, Ahmad Fadhli Shaari menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) agar segera bertindak susulan penularan sebuah video yang didakwa mengandungi pengakuan serius mengenai penerimaan dana haram membabitkan kepimpinan tertinggi kerajaan.

Ahmad Fadhli mendakwa, video tular itu memaparkan Ketua Cabang PKR Wangsa Maju, Lai Chen Heng mengaku bahawa dana diterima datang daripada pemimpin negara tetapi tidak diisytiharkan dan tidak diaudit adalah tuduhan yang serius.

Lebih membimbangkan, Ahli Parlimen Pasir Mas itu berkata, dana tersebut dikatakan tidak dimasukkan ke dalam akaun rasmi dan digelar sebagai ‘duit kotor’.

“Perkara ini bukan sekadar soal disiplin dalaman PKR, tetapi membabitkan kemungkinan pelanggaran undang-undang negara termasuk Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA) 2001,” kataAhmad Fadhli dalam satu kenyataan media, hari ini.

Beliau menggesa siasatan menyeluruh dan bebas dijalankan oleh polis terhadap dakwaan tersebut, serta menekankan bahawa SPRM tidak boleh berdiam diri atau menunggu arahan politik untuk bertindak.

“SPRM wajib bertindak dengan segera dan tidak menunggu arahan politik untuk memulakan siasatan atas kemungkinan berlakunya unsur rasuah dan pengubahan wang haram,” katanya lagi.

Ahmad Fadhli turut memberi amaran bahawa jika tiada penafian rasmi atau penjelasan terbuka daripada pimpinan tertinggi parti itu, maka laporan polis secara besar-besaran akan dibuat di seluruh negara sebagai tekanan agar siasatan dimulakan secara adil dan telus.

Menurut beliau, rakyat tidak boleh terus dibohongi atas nama perjuangan reformasi yang kini dilihat semakin dipenuhi hipokrasi.

“Rakyat berhak tahu kebenaran dan tidak boleh dibiarkan terus dibohongi atas nama perjuangan reformasi,” ujarnya.

Ahmad Fadhli berkata, kepercayaan rakyat terhadap institusi kerajaan dan perjuangan politik perlu dipertahankan melalui tindakan yang telus dan bertanggungjawab, bukan melalui penyembunyian fakta atau manipulasi dana politik.

“Kita tidak boleh membiarkan budaya penyalahgunaan kuasa dan dana tidak sah berakar dalam sistem pentadbiran negara,” katanya.

Dalam video berkenaan, ia memaparkan pengakuan Chen Heng mengenai penerimaan dana tidak diisytihar dan beliau secara terbuka menyatakan bahawa dia menerima wang itu untuk kegunaan parti, namun tidak diaudit atau dimasukkan ke dalam akaun rasmi kerana ia adalah ‘duit kotor’ yang tidak boleh dikesan kembali melalui sistem perbankan. – MalaysiaGazett

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here