Logo Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) di tengah-tengah Kuala Lumpur, menandakan persiapan bandar ini untuk menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 ketika tinjauan lensa Malaysiagazette di Kuala Lumpur. Foto HARI ANGGARA, 8 MEI 2025.

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan (KPM) telah mengenal pasti sebanyak 71 buah sekolah di Kuala Lumpur dan Selangor yang akan diberi kebenaran untuk melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) pada 26 Mei hingga 28 Mei ini bersempena penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN Ke-46.

Kesemua sekolah itu melibatkan enam daerah iaitu Petaling Utama; Petaling Perdana dan Sepang di Selangor serta Keramat; Sentul dan Bangsar/Pudu di Kuala Lumpur.

KPM dalam kenyataan hari ini memaklumkan, cadangan kebenaran pelaksanaan PdPR bagi sekolah-sekolah terlibat mengambil kira penutupan jalan dan kawalan keselamatan sepanjang penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN Ke-46.

Katanya, ia bagi memastikan kelangsungan pembelajaran murid di sekolah-sekolah yang terlibat tidak terjejas.

“Ibu bapa, penjaga, murid, guru dan warga sekolah terlibat dinasihatkan untuk merujuk saluran rasmi sekolah masing-masing bagi mendapatkan maklumat lanjut berkenaan pelaksanaan PdPR,” katanya.

Tambah kenyataan itu, KPM yakin pengalaman melaksanakan PdPR sewaktu pandemik dan semasa dalam situasi bencana dapat memastikan kelangsungan proses pembelajaran dan pada waktu sama aspek kesejahteraan murid, guru dan seluruh warga sekolah terpelihara.

Sidang kemuncak ASEAN Ke-46 menghimpunkan 10 pemimpin negara anggota blok itu, bagi membincangkan isu serantau serta memupuk kerjasama ekonomi, selain memperjuangkan prinsip keterangkuman dan kemampanan.

Malaysia mengambil alih kepengerusian ASEAN pada 1 Januari lalu daripada Laos dengan tema Keterangkuman dan Kemampanan, mencerminkan aspirasi negara untuk membina ASEAN yang bersatu dan makmur.

Ini kali kelima Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN selepas memegang jawatan itu pada 1977; 1997; 2005 dan 2015.

Selain Sidang Kemuncak ASEAN, Malaysia turut menganjurkan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC dan Sidang Kemuncak Ekonomi ASEAN-GCC-China. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here