Menurut laporan media pada Jun 2024, setiap hari rakyat Malaysia membuang sampah sebanyak 38,000 tan sampah dan secara puratanya 1.17 kilogram sisa pepejal bagi setiap orang rakyat Malaysia. Kira-kira satu perempat daripada sampah yang berada di seluruh Malaysia adalah dari negeri Selangor.
Sampah yang tidak dilupus dengan baik akan membawa kesan yang buruk pada tanah. Pelupusan sampah pepejal di tapak pelupusan sampah (landfill) yang sedia ada tidak menyelesaikan masalah sampah secara menyeluruh. Sampah itu akan membuatkan bumi merana, udara tercemar dan kandungan tanah menjadi semakin beracun.
Kejadian ini dilihat pada tahun 2022 di mana salah satu landfill di Pulau Penang (Pulau Burong) terbakar akibat gas metana yang dihasilkan. Kejadian kebakaran itu telah mengakibatkan pemindahan 400 penduduk dan penutupan sementara 10 sekolah. Kejadian tersebut telah mengambil masa selama 3 minggu untuk dipadamkan. Kebarakan yang merebak kepada 11.3 hektar daripada 33 hektar tapak landfill.
“Waste To Energy, WTE” adalah teknologi yang memproses sisa buangan pepejal dan menukarnya kepada haba, stim serta tenaga elektrik. Teknologi WTE ini berbeza dengan insinerator jenis lama di mana insinerator lama tersebut tidak memulihkan tenaga daripada sisa – satu tanggapan yang salah di kalangan orang ramai antara WTE dengan insinerator jenis lama.
Negara-negara di seluruh dunia telah beralih kepada WTE sebagai metodologi utama pengurusan sisa menggantikan landfill. Menurut satu kajian yang dijalankan, peratusan landfill sebagai metodologi pengurusan sisa di negara seperti Singapura, Sweden, Denmark, Belanda dan Jerman telah menurun kepada kurang daripada 5%. Selain WTE, negara-negara ini mengunakan sepenuhnya kaedah recycling dan composting untuk menguruskan, bukannya mengorbankan tanah untuk landfill.
Malaysia bersama-sama dengan Indonesia, Thailand dan Filipina masih lagi menggunakan landfill untuk menguruskan sampah dan belum menggunakan WTE. Secara perbandingannya, pada tahun 2000 terdapat 300 ekar tanah digunakan untuk landfill di Selangor, jumlah ini meningkat 7 kali ganda kepada 2,100 ekar tanah untuk landfill pada tahun 2022.
Jika kaedah landfill terus digunakan bermakna sejumlah 6,000 ekar tanah diperlukan untuk landfill menjelang tahun 2050. Luas 6,000 ekar adalah bersamaan dengan 24,282,000 meter persegi, bersamaan 24.28 km² atau setengah dari kawasan Putrajaya yang berkeluasan 49 km². Mahukah rakyat Selangor melihat bandar dan bukit sampah?
Sementara itu, Malaysia dan beberapa negara sedang membangun menjadi sasaran menjadi tempat pembuangan sisa plastik baharu selepas China berhenti mengambil sampah scrap sejak tahun 2018. Dikenalpasti sejumlah 60 kontena yang disusun dengan sisa tercemar telah diseludup masuk ke kemudahan pemprosesan haram di Malaysia sebelum dihantar pulang ke negara asal mereka.
Sampah itu dianggar sejumlah 3,000 tan metrik (3,300 tan) sisa plastik yang tidak boleh dikitar semula. Ianya dihantar semula ke negara-negara seperti Amerika Syarikat, UK, Kanada dan Australia sebagai langkah untuk mengelak Malaysia daripada menjadi tempat pembuangan sampah bagi negara-negara maju. Rakyat tentunya tidak mahu situasi ini berlaku, oleh itu metodologi WTE adalah penyelesaian untuk isu sampah ini.
Indonesia telah mengumumkan pada Mac bahawa negara tersebut bersedia untuk membangunkan 30 WTE di bandar-bandar utama di seluruh negara menjelang 2029.
Kaedah landfill juga melepaskan gas tCO2e. Menurut satu kajian pada tahun 1990 sejumlah 3.7 juga tan gas tCO2e dilepaskan dari tempat landfill dan ianya terus meningkat sehingga 13.9 juta tan gas tCO2e pada tahun 2019.
Pelepasan ini bersamaan dengan pelepasan tCO2e daripada 6 juta kereta dan menyumbang kepada 4% pelepasan GHG negara. Jika dibiarkan kaedah landfill ini berterusan, pelepasan gas tCO2e boleh meningkat sehingga 26 juta tan gas tCO2e menjelang tahun 2050.
Gas tCO2e merangkumi gas karbon dioksida (CO₂), gas metana (CH₄), gas nitrous oxide (N₂O) dan gas perfluorokarbon, HFC. Gas-gas yang dilepaskan ini akan menyumbang kepada pemanasan global. Peningkatan pencemaran udara (terutama dari pembakaran bahan api fosil) akan menyebabkan penyakit asma, penyakit jantung, paru-paru dan kanser.
Penggunaan landfill sebagai metodologi pengurusan sisa juga merosakkan tanah di mana leachate mengalir ke dalam tanah dan juga sisa tertimbus di bawah tanah. Walaupun sisa di dalam tanah boleh dikeluarkan dan dialihkan, tanah tersebut telah tercemar dan menyebabkan pembaziran tanah di mana tanah sekitar tidak bersesuaian untuk pembangunan tanah dalam tempoh 100 tahun akan datang. Ini juga menyebakan kehilangan nilai tanah untuk tempoh yang lama.
Oleh kerana itulah kaedah pengurusan sampah perlu bertukar kepada WTE sebagaimana yang telah digunakan dan terbukti berkesan di luar negara. Melalui teknologi WTE ini sampah akan ditukar kepada tenaga sepenuhnya dan secara tidak langsung penggunaan tanah untuk landfill akan berkurangan dan membolehkan tanah itu digunakan untuk tujuan lain seperti perindustrian, pertanian, rekreasi dan perumahan.
Di Selangor, sejak tahun 2008 sudah ada kajian dari Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) untuk melaksanakan projek sisa pepejal kepada tenaga atau dikenali sebagai “waste to energy, WTE”. Fasiliti WTE dirancang di Jeram dan Rawang yang berkemampuan untuk menjana tenaga bersih dan boleh diperbaharui, selain menyelesaikan masalah gas rumah hijau yang mengakibatkan perubahan iklim.
WTE yang dirancang di Rawang misalnya telah mendapat benchmark yang tinggi berbanding Department of Environment, DOE Standard, EU Standard dan China Standard. Misalnya daripada segi pengurusan partikel (particular matter, PM), WTE mencatat 30 mg/m3 sama dengan standard DOE dan China dan lebih baik berbanding DOE Standard. Pelepasan merkuri juga mencatat hanya 0.03 mg/m3 berbanding 0.05 bagi standard DOE.
Fakta dan kemampuan WTE yang akan dibina di Rawang ini sudah terbukti daripada segi perbandingan standard antarbangsa, selamat untuk alam sekitar. Malah pembinaan WTE ini juga bakal memberi peluang pekerjaan kepada hampir 2,000 orang kita masa perlaksanaan dan operasi.
Kebimbangan rawak (random concern) yang cuba ditimbulkan berkaitan dengan kawasan arang batu oleh sesetengah pihak adalah sekadar kebimbangan semata-mata. Lihatlah bagaimana WTE yang dibangunkan di Colnbrook, Slough, UK jaraknya hanya 1.5 kilometer dari Heathrow Airport, tidak menggangu pun operasi lapangan terbang terbabit.
Dakwaan bahawa bangunan yang bakal dibina di WTE Rawang merbahaya kerana bawahnya dipenuhi arang batu juga sekadar ulasan rawak sahaja. Lihat kembali bangunan yang tertinggi di dunia (Burj Khalifa) pun kedalamannya hanyalah 164ft (50m) sahaja.
Menurut analisa Jabatan Alam Sekitar, kedalaman arang batu itu sejauh 300 meteri ke dalam tanah, maka jika diambil ke dalaman Burj Khalifa sebagai asas, hujahan itu adalah tidak benar kerana bangunan WTE Rawang tidaklah setinggi Burj Khalifa.
Di samping itu, berdasarkan laporan EIA projek tersebut, tinjauan Eletrical Resistivity Tomography (ERT) telah dijalankan pada tahun 2023 dan 2024 untuk menganalisi keadaan geologi di tapak projek. Berdasarkan tinjuaan, laporan tersebut telah menolak kewujudan terowong bekas perlombongan di lokasi yang dicadangkan.
Faktanya, WTE di Rawang ini bakal menjadi inspirasi pencetus untuk pembinaan beberapa lagi WTE di seluruh negara ke arah mengurangkan landfill dan menguruskan sampah sarap yang lebih cekap di negara ini.
Kerajaan Malaysia bercadang untuk membangunkan 18 WTE menjelang 2040. WTE yang bakal dibina di Rawang adalah sesuai dengan tabiat orang Malaysia yang tidak suka untuk mengasingkan sampah, biarpun kempen itu sudah dimulakan sejak bertahun dahulu.
Semua orang tidak suka sampah dan bau busuk. Mahukan udara yang segar dan kualiti kehidupan yang lebih baik. WTE adalah penyelesaian sebenar untuk isu pengurusan sampah di negara ini.
Oleh: Muda Muhammad
Penganalisis Teknologi & Komunikasi