Kerajaan komited mempercepatkan pembinaan infrastruktur rakyat di seluruh negara.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 225 projek seliaan Jabatan Kerja Raya (JKR) berjaya mendahului jadual pelaksanaannya sekaligus membuktikan kesungguhan kerajaan mempercepatkan pembinaan infrastruktur rakyat di seluruh negara.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, ia termasuk lima projek pembinaan di Sabah selain sebanyak 327 projek pula berjalan mengikut jadual ditetapkan.

“Pemantauan sentiasa dilakukan bagi memastikan projek pembangunan fizikal dibuat secara berterusan dan selari dengan hala tuju kementerian ke arah pelaksanaan projek tanpa lanjutan masa.

“Daripada 855 projek yang sedang dilaksanakan, 828 berada di bawah seliaan JKR Malaysia manakala baki 27 projek termasuk projek sekolah daif dikendalikan oleh JKR Sabah dan JKR Sarawak.

“Projek-projek ini dimiliki pelbagai kementerian termasuk  Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Jabatan Perdana Menteri (JPM), Kementerian Pertahanan (MINDEF), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan kementerian lain,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau sebelum ini mempengerusikan Mesyuarat Pemantauan Projek Pembinaan Infra Rakyat Kementerian Pelanggan Bilangan 2 Tahun 2025 di Sabah.

Ahmad (tengah) meninjau salah satu projek seliaan JKR di Kota Kinabalu.

Mesyuarat berkala dilakukan bagi memastikan projek pembangunan fizikal dipantau secara rapi dan berterusan selari dengan hala tuju Kementerian Kerja Raya (KKR) 2025 ke arah projek tanpa EOT (Extension of Time), mensifarkan projek sakit seperti gesaan YAB Perdana Menteri bagi menyegerakan pembinaan infra rakyat.

Menurut Ahmad, sebanyak 382 projek dengan nilai kerja berjumlah RM8.367 bilion sedang berada dalam kategori penyelenggaraan, pemulihan, ubah suai dan naik taraf.

Katanya, 254 projek fizikal berjaya disiapkan dan diserahkan kepada kementerian pelanggan dengan nilai keseluruhan RM5.50 bilion, merangkumi pelaksanaan projek sejak Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) hingga RMK-12.

“KKR dan JKR komited untuk menambah baik proses perancangan, pelaksanaan dan pemantauan projek.

“Kontraktor bermasalah akan disenarai hitam dan tidak akan diberi lantikan semula, sementara mekanisme amaran awal serta pemantauan digital akan terus diperluas bagi mengenal pasti serta menangani isu lebih awal,” katanya.

Mengenai perkembangan Pembinaan Tambahan Kemudahan Sekolah Sukan Malaysia Sabah, beliau berkata, projek itu kini telah mencapai 90 peratus kemajuan dan dijangka siap mengikut jadual, iaitu pada 6 November ini.

Setelah siap, sekolah berkenaan mampu menampung sehingga 600 pelajar atlet berbanding hanya 300 pelajar ketika ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here