KUALA LUMPUR – Hidangan acar buah `Aminah Mahmood’ yang menjadi juara pertandingan memasak di Pahang semalam, rupa-rupanya `air tangan’ Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Penyertaan baginda sempena Karnival Pertubuhan Perkumpulan Perempuan (WI) Pahang, tidak diketahui oleh pihak penganjur mahupun juri pertandingan yang menilai 11 hidangan yang disediakan.
Juri Pertandingan Masakan Acar Buah, Siti Rokiah Lebai Rahmat, 74, terkejut apabila peserta `Aminah Mahmood’ yang diumumkan sebagai pemenang tempat pertama, sebenarnya adalah Tengku Ampuan Pahang.

Baginda berangkat mencemar duli dan menerima hadiah pada karnival yang diadakan di Taman Tasik Maran.
Beliau yang merupakan bekas guru masakan daripada Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) berpengalaman selama 39 tahun dalam perjurian pertandingan masakan.
“Saya dan semua peserta tidak tahu hidangan tersebut milik Paduka Baginda. Semua peserta diberi syarat sama iaitu menyediakan hidangan siap dari rumah dan dibawa ke pertandingan ini untuk dinilai mengikut rasa dan kreativiti.
“Saya dan pasukan juri memilih acar buah Aminah Mahmood ini bukan kerana sedap semata-mata tetapi kombinasi bahan-bahan yang cukup sempurna.
“Tidak berminyak tetapi kuah yang bersalut dengan rasa buah dan rempah ratus. Ini kali pertama saya rasa acar buah yang sedap, sempurna dan lengkap dengan semua bahan,” kata beliau dalam hantaran Facebook Kesultanan Pahang semalam.
Baginda berangkat mencemar duli dan menerima hadiah pada karnival yang diadakan di Taman Tasik Maran selepas mempengerusikan Mesyuarat Agung WI Pahang di Dewan Jubli Perak.
Turut mengiring ialah YHM Che Puan Panglima Puteri Suraiya Afzan Dato’ Indera Haji Mohammed Moizz. – MalaysiaGazette