KUALA LUMPUR – “Dia pun tahu sebab apa dia tidur dekat hall (ruang tamu),” kata bekas isteri pendakwah dan penceramah motivasi, Datuk Tuan Asmawi Tuan Umar, Farisha Irwayu.
Ia susulan dakwaan bekas suaminya itu yang terpaksa tidur di ruang tamu serta menerima layanan yang tidak sepatutnya oleh isteri.
Farisha yang juga pelakon drama slot Spektra pada era 1990-an itu berkata, perkara itu berlaku apabila dia mendapat tahu Tuan Asmawi sudah berkahwin lagi di Thailand tahun lalu.
“Saya baru dapat tahu Aidilfitri lalu. Kawan-kawan beritahu, suami saya dah kahwin lain dan tanya saya tahukah? Saya jawab tak tahu pun. Patutlah tak balik rumah, sebulan balik, sekejap balik, sekejap tak balik,” katanya memetik laporan Harian Metro.
Menurutnya, mereka juga sudah lama tiada berkomunikasi dan perbincangan dalam rumah tangga.
“Kahwin, tapi masing-masing macam buat hal sendiri. Dia kahwin lain pun tak minta izin dengan saya. Tak ada minta izin nak berpoligami.
“Jadi, saya fikir daripada kita terus tidak bercakap dan dia pun dah ada orang lain dalam hidup, kita selesaikanlah. Saya pula memang jenis yang tak boleh nak kongsi suami,” katanya.
Farisha berkata, dia memujuk bekas suaminya dan bercakap elok-elok untuk menyelesaikan perkara berkenaan.
“Saya cakap awak pun dah ada isteri lain, dah ada rumah lain. Baik awak teruskan saja dengan isteri baru awak, lepaskan saya. Lepas itu dia cakap okey.
“Dia tak banyak cakap, dia tahu dia salah agaknya. Jadi dia kata okey sajalah. Tak timbul isu macam dia cakap saya paksa dia bercerai. Tak ada.
“Janganlah menipu. Awak itu ustaz kan. Kena cakap berterus-terang. Saya cakap dia bincang dengan dia elok saja. Tak pernah nak cakap kasar, nak paksa-paksa. Tak ada,” katanya.
Bagi Farisha, sebagai isteri (ketika itu) yang sudah biasa hidup dengan Tuan Asmawi, dia tahu macam mana sikapnya.
“Saya minta dia permudahkan semuanya untuk dia pergi melafazkan di mahkamah. Kami pergi bersama-sama. Macam dah agak lama saya tak duduk sekali berbincang dengan dia.
“Bila masa nak bercerai itu, masa itulah kami bercakap dan masa itulah dia meluahkan perasaan dia. Tapi saya dah tak nak. Saya cakap tak mahu dimadukan. Saya tak suka.
“Dia pun fahamlah. Lagi pun pihak belah sana (isteri kedua), dia kata keluarganya tak boleh nak terima anak mereka jadi nombor dua. Jadi keluarga sana pun macam ketepikan dia,” katanya.
Farisha berkata, mereka bercerai di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan, di sini, Selasa lalu dan ia berjalan lancar tanpa masalah.
Memandangkan mereka sudah bercerai, Farisha mencadangkan bekas suaminya agar mendaftarkan perkahwinan terbaharu itu.
“Saya kata saya undur diri. Saya okey saja. Lagi pun kita tak happy (gembira) hidup bersama. Lagi pun awak tak berkemampuan untuk beristeri dua. Jadi, saya lepaskan. Awak ambil semuanya. Saya tak kisah, awak bahagialah dengan isteri baru awak,” katanya.
Mengulas perkongsiannya di Facebook berkenaan perceraian mereka sehingga menimbulkan kemarahan Tuan Asmawi, Farisha mempunyai alasan tersendiri berhubung perkara itu.
“Kita tak berjanji pun. Saya cakap kalau kita boleh nikah senyap-senyap, bercerai pun biar senyap-senyap juga tanpa beritahu masyarakat.
“Maksud saya, bila kita pergi ke pejabat kadi, tak payahlah beritahu media-media semua. Saya tak nak media ramai-ramai bersesak-sesak kerana saya tak suka. Itu maksudnya.
“Tapi bila saya dah bercerai, kita ini public figure. Jadi, kita kena beritahu umum takut nanti pada masa depan kalau saya keluar dengan sesiapa, pergi mesyuarat, baik dengan lelaki atau perempuan, takutnya jatuh fitnah. Isu-isu macam itu kan selalu berlaku,” katanya.
Terdahulu Tuan Asmawi yang mengahwini Farisha pada 13 September 2016 mendakwa mereka hanya mengecapi kebahagiaan selama setahun saja.
Dia juga menelan kepahitan apabila terpaksa tidur di ruang tamu dengan layanan yang tidak sepatutnya oleh isteri.
Perkara ini berlaku sejak kira-kira enam tahun kerana bekas isteri memberikan alasan geli untuk tidur bersama dan bertindak mengunci pintu biliknya.
Tuan Asmawi turut mendakwa dia terpaksa menyiapkan makan minum sendiri termasuk menggosok pakaian sendiri untuk pergi bekerja. – MalaysiaGazette