Nur Azreena Faizan, 26 menerima Anugerah Perdana Belia Negara (APBN) Peringkat Negeri Pahang 2025 disampaikan Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, Fadzli Mohamad Kamal di perkarangan Wisma Belia, di sini hari ini

KUANTAN – Dua penerima Anugerah Perdana Belia Negara (APBN) Peringkat Negeri Pahang 2025 akan menyumbangkan wang imbuhan yang dimenangi bagi tujuan pembangunan belia di daerah masing-masing.

Mohamad Haikal Zakaria, 29 yang memenangi Johan kategori lelaki, dan johan kategori wanita, Nur Azreena Faizan, 26, memberitahu akan menyalurkan semula sebahagian wang tunai RM10,000 yang dimenangi hari ini.

Mohamad Haikal yang merupakan Pegawai Media Komunikasi di Maran berkata, insentif tersebut akan membantu menggerakkan aktiviti belia dalam program-program yang akan direncanakan kelak.

Mohamad Haikal Zakaria ketika menerima Anugerah Perdana Belia Negara (APBN) Peringkat Negeri Pahang 2025 disampaikan Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, Fadzli Mohamad Kamal hari ini

“Saya anggap ini sumbangan kecil sebab apa yang saya capai hari ini pun adalah hasil perjalanan saya bersama belia (Majlis Belia).

“Saya pun baharu sahaja mendapat mandat untuk mempengerusikan Majlis Belia Daerah Maran dan saya tahu mana-mana organisasi, belia terutamanya memerlukan dana dan kewangan untuk bergerak. Jadi saya ingat ini mungkin menjadi sumbangan kecil,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Festival Belia Pahang sempena sambutan Hari Belia Negara Peringkat Negeri Pahang 2025, di pekarangan Wisma Belia Pahang, Indera Mahkota, hari ini.

Majlis tersebut disempurnakan Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, Fadzli Mohamad Kamal yang mewakili Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.

Tambah Haikal, dana tersebut antara lain akan digunakan untuk melaksanakan program pembangunan dan hiburan anak muda termasuk pertandingan e-sukan, nyanyian dan program sempena Ambang Merdeka nanti.

Bapa kepada seorang anak itu berkata, penglibatannya dalam dunia belia bermula ketika menuntut dalam bidang Sarjana Muda Pembedahan Pergigian di Chennai, India melalui pelbagai program kesukarelawanan dan penglibatan aktif dalam persatuan mahasiswa luar negara.

“Sekembali ke kampung, saya bersama rakan-rakan menubuhkan persatuan belia dan menggerakkan kegiatan ekonomi anak muda di Chenor.

“Bukan itu sahaja, saya banyak terlibat dengan aktiviti kesukarelawanan dalam persatuan belia bulan sabit merah malaysia, pernah pergi ke Vietnam, Myanmar dan sebagainya,”tambahnya.

Haikal juga pernah menerbitkan buku berjudul Dari Chenor ke Chennai pada tahun 2022 yang mengisahkan perjalanan hidupnya sebagai anak kampung yang berjaya melangkah ke luar negara.

Sementara itu, Nur Azreena yang turut membawa pulang RM10,000 berkata, wang kemenangan itu akan digunakan sepenuhnya untuk manfaat komuniti, khususnya belia.

“Wang kemenangan akan diberikan kepada masyarakat semula. Kita akan buat program kebajikan,”katanya.

Nur Azreena Faizan, 26 menerima Anugerah Perdana Belia Negara (APBN) Peringkat Negeri Pahang 2025 disampaikan Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, Fadzli Mohamad Kamal di perkarangan Wisma Belia, di sini hari ini

Beliau juga merupakan Pengasas sebuah kedai amal berkonsepkan sosial di bawah pergerakan pengakap di Kuantan (Scout Charity Shop).

“Kedai itu juga merupakan ikon kepada negara-negara lain seperti Thailand, Singapura dan Indonesia yang datang untuk mengambil idea dan mengetahui cara pengurusan agar mereka boleh jalankan di negara mereka.

“Selain itu, saya banyak melatih belia-belia lain juga dari segi kebajikan di mana saya ada bawa mereka ke luar negara di Kemboja untuk misi bantuan kemanusian.

“Kita pergi dengan dana pengakap sendiri secara backpackers, seramai 20 orang, latih untuk buat kebajikan di luar negara dan menerapkan perkara sama di sini,” katanya.

Nur Azreena turut merancang pelbagai inisiatif ekonomi melibatkan anak muda, khususnya dalam bidang perniagaan sosial dan pengurusan acara.

Sementara itu, Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, Fadzli Mohamad Kamal berkata, kerajaan negeri Pahang menambah baik penganjuran Festival Belia di Pahang tahun ini.

Katanya, kerajaan negeri menawarkan pendekatan baharu kepada kelompok belia di sini selain mengiktiraf sumbangan dan pencapaian mereka menerusi pengisian program kali ini.

Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, Fadzli Mohamad Kamal

“Pendekatan baru di mana kita nak tanamkan kecintaan anak muda terhadap bahasa melayu itu sendiri.

“Saya sempat mengikuti satu sesi bersama dengan pembudaya Malaysia, Zidin Aziz Desa dan saya kagum dengan penglibatan anak muda yang ramai.

“Ada pengisian lain dalam Festival Belia kali ini seperti penganugerahan Karya Anak Pahang. Melalui inisiatif ini, kita nak membudayakan rasa cinta yang tinggi kepada negeri dan menyebarkan mesej positif termasuk rasa kasih sayang dan cinta kepada tanah air melebihi daripada unsur-unsur negatif yang terdapat di media sosial,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here