KUALA LUMPUR – Dua lelaki bertopeng yang menyerang seorang lelaki menggunakan parang di sebuah premis perniagaan di Jalan Raja Uda, Butterworth, Pulau Pinang kelmarin diberkas polis.
Pemangku Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Superintendan C Tharmalingam berkata, kedua-dua suspek berusia lingkungan 30-an itu ditahan oleh anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) SPU tidak lama selepas kejadian.
Menurut beliau, serangan berlaku kira-kira pukul 7.20 malam ketika mangsa baru tiba di premis berkenaan untuk makan bersama rakannya.
“Dalam kejadian itu, mangsa tiba-tiba diserang dari arah belakang oleh seorang lelaki tidak dikenali yang memakai topeng. Mangsa cuba melarikan diri namun telah dilanggar oleh kenderaan yang dipandu suspek kedua sebelum diserang menggunakan parang sehingga menyebabkan kecederaan parah pada tangan kirinya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mangsa yang berlumuran darah sempat berlari masuk ke sebuah klinik swasta berhampiran untuk mendapatkan bantuan sebelum dibawa ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) oleh pasukan perubatan.
“Mangsa kini menerima rawatan di wad kecemasan dan dilaporkan dalam keadaan stabil,” ujarnya.
Susulan kejadian, polis berjaya menahan dua lelaki yang disyaki terlibat bagi membantu siasatan lanjut.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Irwan Shah di talian 04-576 2222 sambungan 2275 atau tampil ke mana-mana balai polis berhampiran.
Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan cedera parah menggunakan senjata.
Terdahulu, tular beberapa video memaparkan insiden tersebut, termasuk rakaman mangsa dalam keadaan berlumuran darah menerima rawatan awal di sebuah klinik serta rakaman suspek melarikan diri menaiki kereta jenis Nissan Almera berwarna putih. – MalaysiaGazette