Rais (tiga dari kiri) merasmikan Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat di Sungai Udang, Melaka hari ini.

MELAKA – Hasrat Perikatan Nasional (PN) untuk menawan Melaka pada Pilihan Raya Negeri (PRN) tahun depan dilihat hanyalah sekadar cita-cita yang tidak kesampaian.

Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri, Datuk Rais Yasin, berkata mereka tidak mempunyai masa untuk melayan kerenah pembangkang yang hanya tahu berpolitik di media sosial sepanjang masa berbanding membantu rakyat.

“Mereka (PN) boleh bercita-cita (tawan Melaka) tetapi bagi BN khususnya UMNO kita tidak takut dan tidak gentar kerana kami sentiasa bersedia.

“Kerana itulah kita adakan program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) ini supaya rakyat melihat kita tidaklah hanya berpolitik 24 jam sebaliknya mengutamakan kebajikan mereka,” katanya.

Beliau yang juga Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri berkata demikian kepada pemberita selepas perasmian Program WRUR peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang di Kampung Paya Rumput Jaya (PARUJAS) di sini hari ini.

Datuk Rais Yasin

Perasmian disempurnakan Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri, Datuk Kalsom Noordin mewakili Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Rais berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Setiausaha Agung PN Datuk Seri Mohamed Azmin Ali semalam
yang berpandangan parti itu memiliki potensi besar untuk meraih sokongan majoriti rakyat Melaka dalam PRN Melaka.

Ramalan tersebut katanya, berdasarkan kegagalan pentadbiran kerajaan negeri Melaka yang diterajui oleh UMNO dan DAP.
selain data dan analisis keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) menunjukkan PN mampu menawan di beberapa kerusi.

Mengikut rekod, PRN Melaka dijangka diadakan selewat-lewatnya November tahun depan.

Melaka mempunyai 28 DUN dengan 21 dimenangi BN, lima PH dan dua PN. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here