KUALA LUMPUR – Seramai 117 rakyat Indonesia dilaporkan dihalang masuk ke Arab Saudi selepas didapati cuba menunaikan ibadah haji menggunakan visa kerja.
Menurut Konsulat Jeneral Indonesia di Jeddah, Yusron B Ambry, kesemua mereka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Mohammad Bin Abdulaziz, Madinah dalam dua kumpulan berasingan pada 14 dan 15 Mei lalu.
“Mereka dikesan masuk menggunakan visa kerja dan lebih mencurigakan apabila sebahagian daripadanya yang sudah lanjut usia didapati memegang visa sebagai pekerja binaan.
“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati mereka sebenarnya berniat menunaikan haji,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Yusron menambah, sepanjang tempoh 3 hingga 15 Mei lalu lebih 300 rakyat negara itu dilaporkan tiba di beberapa lapangan terbang antarabangsa Arab Saudi menggunakan visa kerja dan visa lawatan bagi tujuan menunaikan ibadah haji secara tidak sah.
Dilaporkan, pihak berkuasa Arab Saudi juga kini memperketatkan pemeriksaan terhadap jemaah yang masuk secara tidak sah dengan hukuman denda sehingga RM125,000 serta tindakan pengusiran.
“Haji adalah ibadah suci dan wajib dilaksanakan mengikut kaedah betul serta sah di sisi undang-undang.
“Justeru, kami menyeru agar semua rakyat mematuhi peraturan dan hanya menggunakan visa haji yang sah untuk menunaikan ibadahn di tanah suci,” katanya lagi. – Agensi