KUALA LUMPUR – Tindakan mengecat dinding, membina struktur kekal serta menutupi formasi geologi semula jadi termasuk fosil dan stromatolit di Gua Cenderawasih yang terletak Bukit Lagi, Kangar, Perlis boleh menjejaskan nilai saintifik dan estetik kawasan tersebut.
Lagipun, Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) belum menerima sebarang permohonan rasmi daripada pengusaha mahupun pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk mendapatkan ulasan teknikal bagi pembangunan atau aktiviti pengoperasian kafe di dalam Gua Cenderawasih yang terletak Bukit Lagi, Kangar, Perlis
Menurutnya, mengikut prosedur pemajuan fizikal, sebarang pembangunan perlu dirujuk kepada JMG oleh PBT sebagai agensi teknikal di bawah Jawatankuasa ‘One Stop Center’ (OSC).
JMG menegaskan sebarang pembangunan di sekitar bukit batu kapur hendaklah merujuk kepada Garis Panduan Penentuan Zon Bahaya di Sekitar Bukit Batu Kapur yang diterbitkan oleh JMG bagi memastikan keselamatan orang awam.
Gua ini terletak dalam geotapak Bukit Lagi, sebahagian daripada kawasan Perlis Geopark, dan pemuliharaannya selari dengan aspirasi Malaysia yang menekankan keseimbangan antara pembangunan dan kelestarian alam semula jadi demi kesejahteraan generasi akan datang.
Geotapak Bukit Lagi terbentuk daripada batu kapur Formasi Setul yang berusia lebih 480 juta tahun dan kaya dengan pelbagai jenis fosil seperti nautiloid, gastropod, dan brakiopod.
Kawasan ini turut menampilkan ciri geologi unik seperti takik laut purba, gua-gua kecil, dan struktur batuan berbentuk cendawan serta tengkorak.
Dalam konteks pembangunan geopark, JMG berkata, semua aktiviti nilai tambah perlu selari dengan tiga elemen utama iaitu pemuliharaan, pendidikan dan pembangunan lestari.
“Sebagai agensi teknikal yang bertanggungjawab dalam pembangunan geopark di peringkat nasional, JMG terus komited mengenal pasti, memulihara dan memberi khidmat nasihat teknikal berkaitan dengan pemuliharaan dan pengurusan sumber geologi termasuk geotapak bernilai tinggi,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
JMG juga menyarankan agar Pelan Pembangunan Geopark Negara 2021–2030 (PPGN 2021–2030) dan Pelan Pelaksanaan Geopark Negara (PLGN) yang telah diluluskan dalam Mesyuarat Majlis Perancang Fizikal Negara ke-42 dijadikan panduan utama dalam sebarang pembangunan geopark termasuk di Perlis Geopark.
“JMG akan terus bekerjasama dengan semua pihak bagi memastikan pembangunan dilakukan secara berhemah dan lestari, sejajar dengan prinsip ‘pembangunan tanpa kemusnahan’,” katanya. – MalaysiaGazette