KUALA LUMPUR – Polis masih menyiasat kemungkinan seorang kanak-kanak lelaki memanjat sofa di ruang terbuka tingkat lapan sebuah apartment di Presint 9, Putrajaya, semalam, sebelum maut akibat terjatuh.
Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Asisten Komisioner Aidi Sham Mohamed berkata, punca sebenar kejadian belum dikenal pasti susulan kes masih dalam siasatan.
“Siasatan mendapati sofa itu berada di tingkat lapan, manakala mangsa dilaporkan jatuh dari tingkat tujuh apartment berkenaan,” katanya ringkas hari ini.
Sejak semalam tular hantaran di media sosial mendakwa, mangsa berusia dua tahun itu dipercayai memanjat sofa yang berada di ruangan terbuka apartment sebelum dilaporkan terjatuh.
Terdahulu, media melaporkan seorang kanak-kanak lelaki maut dipercayai terjatuh dari tingkat tujuh sebuah apartment perumahan awam Presint 9.
Insiden itu dimaklumkan oleh seorang doktor bertugas di Unit Kecemasan, Hospital Putrajaya, yang membuat laporan polis pada jam 2.24 petang semalam. – MalaysiaGazette