Datuk Sivakumar Nadarajah.

KUALA LUMPUR – Media di negara ini digesa menjaga keharmonian dan perpaduan kaum di negara ini ketika menerbitkan tajuk-tajuk berita yang boleh menimbulkan kekeliruan serta menyentuh sensitiviti masyarakat.

Pengasas dan Presiden Persatuan Kebajikan Dinamik Sinar Kasih Malaysia (DSK), Datuk Sivakumar Nadarajah mendakwa laporan tular di media sosial baru-baru ini bertajuk ‘Sami curi dana tokong lebih RM38.7 juta untuk berjudi’ telah mengundang salah faham dalam kalangan rakyat Malaysia.

Katanya, tajuk itu telah gambaran seolah-olah kejadian berlaku di Malaysia dan membabitkan sami India, walhal insiden tersebut berlaku di Thailand

“Bila baca keseluruhan laporan dan ruangan komen, barulah jelas tokoh agama yang dimaksudkan adalah Phra Thammachiranuwat dari Wat Rai Khing di Bangkok yang didakwa memindahkan dana tokong ke akaun peribadi.

“Tajuk sedemikian tidak bertanggungjawab, dan boleh menimbulkan ketegangan kaum, terutamanya apabila ia dikaitkan secara tidak langsung dengan komuniti India di negara ini.

“Media seharusnya lebih sensitif dan menggunakan istilah yang tepat serta berlandaskan fakta. Jangan hanya kerana mahu meraih perhatian atau capaian tinggi, kita sanggup menyiarkan tajuk yang boleh memburukkan imej sesuatu kaum,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sivakumar turut menyarankan agar pihak media terlibat memadamkan kandungan tersebut dan memohon maaf secara terbuka kerana mengelirukan rakyat Malaysia.

Dalam masa sama, beliau menyambut baik langkah Kerajaan Madani yang sedang merangka pindaan terhadap Akta Hasutan bagi menangani provokasi berkaitan isu 3R kaum, agama dan institusi diraja secara lebih tegas.

“Penyebaran berita sebegini harus dikawal. Kita ada undang-undang seperti Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang boleh digunakan untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang menyebarkan kandungan mengelirukan,” ujarnya.

Tegasnya, peranan media bukan sekadar menyebarkan berita, tetapi juga menjadi ejen perpaduan dan penyebar ilmu yang bertanggungjawab.

“Media perlu menjadi jambatan penghubung antara masyarakat pelbagai kaum. Jangan gadaikan nama baik institusi media semata-mata mahu kejar ‘likes’ atau publisiti murahan,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here