KUALA LUMPUR – Muzium dalam negara perlu kekal relevan meskipun berdepan dengan cabaran kepesatan teknologi dan arus globalisasi.
Sehubungan itu, Menteri Perpaduan, Datuk Aaron Dagang berkata, pihaknya sentiasa bekerjasama dengan Jabatan Muzium untuk melaksanakan strategi tertentu termasuk meningkatkan kebolehcapaian sumber muzium kepada masyarakat dan melakukan promosi yang inklusif mewakili kepelbagaian budaya serta sejarah Malaysia.
“Ini termasuk melaksanakan amalan lestari dalam operasi dan pameran muzium dan menggalakkan penglibatan komuniti dalam aktiviti muzium dan proses membuat keputusan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian Seminar Hari Muzium Antarabangsa Malaysia 2025 di Bukit Kiara hari ini.
Turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Muzium Malaysia merangkap Pengerusi Majlis Muzium Antarabangsa (ICOM), Datuk Kamarul Baharin A.Kasim.
Terdahulu Aaron berkata, Malaysia mempunyai 232 buah muzium merangkumi dii peringkat persekutuan, institusi yang dikendalikan oleh negeri, koleksi persendirian dan muzium peribadi.
Bukan sekadar penjaga khazanah masa lalu negara, Aaron turut menyifatkan muzium sebagai pusat yang dinamik dalam memelihara warisan negara selain mempromosikan perpaduan.
“Di Malaysia, di mana kepelbagaian budaya, tradisi dan sejarah kita bertemu, muzium sentiasa lebih daripada sekadar tempat untuk pembelajaran. Ia merupakan penjaga memori kolektif kita, jambatan yang menghubungkan masa lalu dan masa kini, serta platform untuk dialog antara pelbagai komuniti.
“Ia juga mengenai berinteraksi dengan masa kini dan membentuk masa depan. Muzium menyediakan ruang untuk renungan, memupuk rasa hormat antara satu sama lain, dan meraikan kepelbagaian yang menjadikan Malaysia unik,” tambahnya.-MalaysiaGazette