BAGHDAD – Pemimpin Arab menggesa peperangan di Gaza dihentikan serta-merta dan menolak terhadap sebarang cadangan pemindahan paksa penduduk Palestin.
Dalam kenyataan akhir Sidang Kemuncak Liga Arab ke-34, yang bermula di ibu kota Iraq, Baghdad, pemimpin 22 negara anggota blok itu menuntut “pemberhentian serta-merta perang di Gaza dan semua bentuk permusuhan yang memburukkan lagi penderitaan orang awam.”
Kenyataan itu menggesa masyarakat antarabangsa, khususnya negara yang berpengaruh, untuk memenuhi kewajipan moral dan undang-undang untuk menyokong pemberhentian pertumpahan darah dan memastikan bantuan kemanusiaan tanpa halangan ke Gaza.
Mereka juga mengulangi penolakan terhadap pemindahan paksa rakyat Palestin, yang merupakan pelanggaran undang-undang antarabangsa, tambah kenyataan itu.
Kenyataan itu turut menyeru semua negara untuk menyediakan sokongan politik, kewangan, dan undang-undang bagi rancangan pembinaan semula dan pemulihan bagi Semenanjung Gaza, dan mengalu-alukan gesaan Iraq untuk menubuhkan dana bagi pembinaan semula Gaza.
Para pemimpin menegaskan, isu Palestin kekal sebagai keutamaan negara Arab dan kunci kepada kestabilan serantau, kata kenyataan itu, sambil menambah mereka menyokong penuh hak rakyat Palestin yang tidak boleh dipisahkan, termasuk kebebasan, penentuan nasib sendiri, dan penubuhan negara Palestin yang merdeka dan berdaulat di sempadan 1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu kotanya.
Kenyataan itu menegaskan, pemimpin Arab mengecam semua langkah dan amalan tidak sah oleh Israel yang menyasarkan rakyat Palestin dan merampas hak mereka untuk kebebasan, kehidupan, dan maruah manusia.
Para pemimpin menyokong gesaan Presiden Palestin Mahmoud Abbas untuk mengadakan persidangan keamanan antarabangsa dan mengambil langkah untuk melaksanakan penyelesaian dua negara.
Kenyataan itu juga menangani isu lain di seluruh dunia Arab, termasuk Sudan, Lubnan, Syria, Libya, dan Yaman, dan mengulangi kecaman pemimpin Arab terhadap semua bentuk keganasan, khususnya tindakan pengganas oleh kumpulan Negara Islam (IS).
Sidang kemuncak itu menyaksikan penyertaan pemimpin dan diplomat tertinggi 22 negara anggota Liga Arab, serta wakil dari pertubuhan serantau dan antarabangsa. – Agensi