Perisma sentiasa memberikan kata-kata semangat apabila suami berhadapan dengan pelbagai cabaran dalam melaksanakan tugasan sebagai anggota bomba.

KUALA LUMPUR – Peranan artis dan selebriti kini bukan setakat menghiburkan masyarakat semata-mata tetapi turut menjadi pencetus semangat serta motivasi, kata Yang Dipertua Persatuan Suri dan Anggota Wanita Bomba dan Penyelamat Malaysia (Perisma) peringkat kebangsaan, Datin Neta Abdul Hamid.

Beliau berkata, pihaknya terharu dengan sokongan yang diberikan Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza dan penyampai radio Gegar, Fizie Roslan terhadap anggota bomba dan menganggap sokongan selebriti menjadi motivasi buat Perisma untuk terus berbakti.

Siti dan Fizie antara selebriti yang cakna dengan pengorbanan para anggota bomba yang terlibat dalam operasi pemadaman kebakaran ladang kelapa dan hutan seluas 176 hektar di Gebeng, Pahang pada Mac lalu.

“Satu penghargaan buat kami apabila Siti yang juga pengasas Yayasan Nurjiwa memberi perhatian dan sumbangan kepada anggota bomba menerusi Perisma.

“Begitu juga dengan Fizie Roslan yang turun ke lokasi kebakaran bersama Pengerusi Perisma Pahang dan team produk Mineral Essence menyantuni anggota bomba sebelum ini.

“Sokongan mereka sebenarnya sangat memberi kesan positif serta jadi motivasi buat kami di Perisma,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Siti yang juga pengasas Yayasan Nurjiwa sentiasa memberi perhatian dan sumbangan kepada anggota bomba menerusi Perisma.

Sementara itu, menurut Neta, di sebalik kejayaan seorang lelaki, ada wanita di belakangnya yang membuktikan pentingnya peranan Perisma.

“Kami sentiasa berdoa dan memberikan kata-kata semangat apabila suami berhadapan dengan pelbagai cabaran dalam melaksanakan tugasan sebagai anggota bomba.

“Dalam masa yang sama, Perisma menjalankan amanahnya untuk menjaga kebajikan isteri-isteri bomba dan anggota bomba wanita.

“Sebenarnya kebajikan yang diberikan kepada mereka itu disampaikan dalam pelbagai bentuk. Misalnya apabila ada pegawai bomba wanita atau isteri anggota bomba yang sakit atau ditimpa bencana, kami akan bantu dari segi kewangan dan berusaha memenuhi bantuan yang diperlukan,” ujarnya.

Neta juga berharap, Perisma akan terus dikenali dengan peranan penting yang dibawa dan bukan hanya tempelan kerana kami membawa fungsi yang sangat penting kepada anggota bomba.

“Kalau ada yang cakap Perisma ini hanya tempelan dan hendak menumpang populariti kerjaya bomba, itu silap kerana Perisma mempunyai peranan tersendiri,” katanya.

Sementara itu, Perisma turut menyertai acara Sambutan Hari Anggota Bomba Sedunia Tahun 2025 yang berlangsung di padang Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) 1, Pahang, baru-baru ini.

Turut hadir ialah Timbalan Yang Dipertua Perisma Kebangsaan, Datin Batiyah Bakar dan Pengerusi Perisma Pahang, Suraya Jusoh.

Suraya  menzahirkan ucapan terima kasih buat semua ahli Perisma Pahang yang menyertai perbarisan sempena Sambutan Hari Anggota Bomba Sedunia Tahun 2025 yang berlangsung pada 5 Mei baru-baru ini.

“Saya berbangga dengan komitmen serta kesungguhan yang ditunjukkan. Saya tahu tidak mudah untuk menyertai perbarisan itu kerana kita sebagai isteri mempunyai banyak tugasan hakiki di rumah,” katanya. – MalaysiaGazette

Perisma turut menyertai acara Sambutan Hari Anggota Bomba Sedunia Tahun 2025 yang berlangsung di padang Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) 1, Pahang, baru-baru ini.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here