KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi menetapkan esok bagi mendengar permohonan Datin Seri Pamela Ling Yueh untuk mendapat kebenaran memulakan semakan kehakiman berkaitan siasatan terhadapnya.
Berdasarkan semakan menerusi laman web mahkamah, prosiding dijadual didengar di hadapan Hakim Datuk Amarjeet Singh, pagi esok.
Dalam permohonan itu, Pamela selaku pemohon menamakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Ketua Pengarah Imigresen Malaysia sebagai responden.
Pamela memfailkan permohonan pada 7 April lalu iaitu dua hari sebelum kehilangannya dalam usaha mencabar siasatan yang didakwa tidak berlandaskan undang-undang.

Perkara itu dimaklumkan oleh peguam Sangeet Kaur Deo yang bertindak bagi pihak keluarga wanita itu dalam satu kenyataan pada 7 Mei lalu.
Dalam kenyataan itu, Sangeet membangkitkan persoalan yang serius berhubung tindakan SPRM dan pihak polis berkaitan proses siasatan terhadap wanita berkenaan.
Ujar Sangeet, Pamela disiasat berkaitan kes di bawah Akta SPRM dan Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA).
Sangeet mendakwa, SPRM menggunakan kuasanya untuk menekan Pamela bagi menyelesaikan masalah rumah tangga dengan suaminya, bukan untuk membantu siasatan untuk tujuan yang sah.
Menurut kenyataan itu, wanita tersebut menerima tekanan termasuk sekatan perjalanan sejak Oktober tahun lalu ketika disiasat berkaitan kes pengubahan wang haram, walhal dia sentiasa memberikan kerjasama kepada agensi berkenaan.
Ujar beliau, meskipun tidak pernah didakwa atas sebarang kesalahan, peguam ini berkata, corak layanan SPRM terhadap Pamela amat luar biasa dan tidak selari dengan layanan yang sewajarnya diberikan kepada seorang saksi yang membantu siasatan.
Menurutnya, kali terakhir beliau dilihat ialah berhampiran pejabat SPRM di Putrajaya pada 9 April lalu sehinggalah timbul dakwaan ada pihak menyamar sebagai pegawai polis menahannya pada hari kejadian.
Pamela, 42, dilaporkan hilang ketika dalam perjalanan ke pejabat SPRM pada 9 April lalu manakala polis menerima laporan berhubung kehilangannya pada 3.02 petang hari sama.
Sementara itu, adik mangsa, Simon Ling Wan Siong memaklumkan, Pamela telah menghantar mesej menerusi aplikasi WhatsApp kepada peguamnya pada jam 1.57 tengah hari dengan mengatakan wanita itu dalam perjalanan ke SPRM di Putrajaya dengan menaiki kereta perkhidmatan e-hailing.
Keluarga dan peguamnya cuba menghubungi mangsa selepas jam 2 petang namun panggilan telefon dan pesanan WhatsApp tidak berbalas. – MalaysiaGazette