Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Persatuan Kebudayaan Kadazandusun Sabah (KDCA) menjemput pelancong tempatan, luar negara serta masyarakat di negeri itu untuk berkongsi kegembiraan, perpaduan dan tradisi ketika sambutan Pesta Kaamatan akhir bulan Mei ini.

Pesta dua hari bermula 30 Mei ini itu akan diadakan di Hongkod Koisaan Cultural Unity Centre Penampang bersesuaian dengan cuti umum selama dua hari di negeri berkenaan.

Menurut Lembaga Pelancongan Sabah, antara program dan aktiviti yang diadakan sepanjang pesta itu adalah ritual tradisional yang simbolik yang mana upacara ini dikendalikan dengan teliti oleh Bobohizan iaitu kumpulan pendeta tradisional yang dihormati sebagai penjaga tradisi masyarakat Kadazandusun.

“Setiap nyanyian dan gerak isyarat yang dilafazkan merupakan penghormatan kepada Bambarayon atau ‘semangat padi’, sambil memohon berkat dan kesejahteraan untuk negeri dan rakyatnya.

“Upacara simbolik ini menjadi jambatan hidup yang menghubungkan masyarakat dengan dunia alam, sekaligus memperkukuhkan ikatan antara manusia dan roh alam dalam tradisi Kadazandusun,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kemuncak Pesta Keamaatan adalah  menobatkan ratu Pesta Kaamatan  dan ia bukan sekadar pertandingan ratu cantik.

Selain itu, Lembaga Pelancongan Sabah memberitahu, persembahan tarian daripada pelbagai etnik seperti Sumazau, tarian Maragang dari Tambunan yang penuh semangat dengan gerakan lincah dan laungan jeritan ‘pangkis’ bakal membakar jiwa penonton.

Kata agensi itu, terdapat juga tarian Sazau Papar dan tarian Mongigol yang bersemangat, mendapat sambutan baik daripada pengunjung malah ia turut dipersembahkan semasa acara utama Kaamatan.

“Acara kemuncak bagi majlis ini adalah  menobatkan ratu Pesta Kaamatan  dan ia bukan sekadar pertandingan ratu cantik tetapi merupakan satu penghormatan kepada semangat Huminodun iaitu seorang puteri lagenda yang mengorbankan dirinya demi kesejahteraan rakyat.

“Aktiviti lain yang diadakan sempena pesta tersebut adalah pertandingan Sugandoi yang memberi peluang kepada peserta menyanyi dan ini adalah salah satu kegemaran rakyat negeri Sabah  sama ada di karaoke, majlis keluarga, atau acara kampung.

“Pertandingan sugandoi menyerlahkan lagi semangat ini dengan menjadikan nyanyian sebagai satu acara meriah yang diraikan di seluruh negeri,” ujarnya.

Acara tarik tali menjadi tarikan pengunjung manakala permainan lain seperti gusti lengan dan sumpitan turut memeriahkan suasana.

Sementara itu, terdapat permainan tarik tali yang boleh disertai atau ditonton semasa pesta Kaamatan.

“Permainan yang meriah ini tersemat dalam warisan tempatan dan mempamerkan kekuatan, kerjasama berpasukan dan semangat komuniti.

“Acara ini sering menjadi tarikan pengunjung manakala permainan lain seperti gusti lengan dan sumpitan turut memeriahkan suasana.

“Aktiviti ini bukan sahaja menarik untuk ditonton, malah menggalakkan pengunjung untuk turut serta merasai budaya suku kaum Sabah,” kata agensi itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here