Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Projek rintis Program Pendidikan Tingkatan Enam di universiti awam (UA) merupakan langkah yang tepat ke arah mengiktiraf potensi pelajar peringkat itu dalam sistem pendidikan negara.

Jelas Ketua Wanita PKR Cabang Balik Pulau, Nurhidayah Che Rose pendekatan tersebut mampu meningkatkan minat pelajar terhadap tingkatan enam sekaligus mengubah persepsi masyarakat terhadap peringkat pendidikan.

“Kami yakin kolaborasi antara sekolah, universiti dan kementerian ini mampu memperkukuh jati diri pelajar serta melahirkan lebih ramai generasi muda yang berilmu, berdaya saing dan bersedia menghadapi cabaran global,” katanya menerusi kenyataan.

Terdahulu, katanya, Wanita PKR berkenaan menyambut baik dan menyokong penuh inisiatif terbaharu Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dalam usaha memperkasakan pendidikan tingkatan enam sebagai laluan akademik yang lebih berdaya saing dan berprestij.

“Sebagai sebuah gerakan yang sentiasa memperjuangkan hak dan pembangunan pendidikan khususnya untuk golongan wanita dan belia, Wanita PKR Balik Pulau melihat inisiatif ini sebagai peluang strategik untuk memperluas akses pendidikan berkualiti tinggi kepada anak-anak Malaysia terutamanya di kawasan luar bandar dan separa bandar seperti Balik Pulau,” ujarnya.

Nurhidayah turut menyeru supaya usaha tersebut disertai dengan langkah-langkah sokongan seperti penambahbaikan kemudahan pembelajaran, latihan guru yang komprehensif serta bantuan kewangan yang bersasar untuk pelajar dari keluarga B40.

KPM hari ini mengumumkan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Sains Malaysia (USM) dipilih untuk projek tersebut.

Katanya, kerjasama bersama Kementerian Pendidikan Tinggi itu akan menawarkan dua bidang pengajian iaitu sains dan sains sosial.

Pada masa sama, KPM memaklumkan, tawaran kemasukan ke Tingkatan Enam Semester 1 Tahun 2025 boleh disemak secara dalam talian mulai esok melalui pautan https://sst6.moe.gov.my/ atau melalui sekolah asal masing-masing.

Katanya, bagi murid yang tidak menerima tawaran, rayuan boleh dibuat mulai esok hingga 25 Mei ini.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here