KUALA LUMPUR – Rayuan akhir pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali terhadap hukuman penjara 12 tahun kerana mengabai serta menganiaya remaja perempuan sindrom Down dikenali sebagai Bella, merupakan antara kes berkepentingan awam yang akan didengar esok.
Rayuan Siti Bainun, 32, bagi mengetepikan sabitan dan hukuman penjara yang dikekalkan oleh Mahkamah Tinggi, dijadual didengar di hadapan panel tiga hakim Mahkamah Rayuan, Putrajaya.
Tarikh itu diperoleh menerusi laman web mahkamah yang turut disahkan kepada MalaysiaGazette oleh peguam Haijan Omar yang mewakili Siti Bainun.

Pada 3 Mei 2023, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman itu selepas Siti Bainun didapati bersalah atas dua pertuduhan mengabai dan menganiaya Bella, 13.
Mahkamah turut memerintahkan Siti Bainun menandatangani bon berkelakuan baik selama lima tahun dengan seorang penjamin berserta cagaran RM5,000.
Siti Bainun turut diperintah melaksanakan khidmat masyarakat selama 200 jam yang perlu disempurnakan dalam tempoh enam bulan selepas tamat hukuman yang dijalaninya di Penjara Kajang.
Siti Bainun disabitkan mengabai dan menganiaya mangsa di sebuah unit kondominium di Wangsa Maju, antara Februari hingga Jun 2021.
Pada 2 Mei 2024, Mahkamah Tinggi menolak rayuan Siti Bainun untuk mengetepikan sabitan dan hukuman itu dan dia kemudiannya merayu keputusan itu di Mahkamah Rayuan.

Sementara itu di Mahkamah Sesyen Sepang, dekat sini, usahawan kosmetik, Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman dijadual memberi keterangan bela diri terhadap empat pertuduhan memuat naik kandungan video sumbang.
Peguam Awang Armadajaya Awang Mahmud yang mewakili beliau mengesahkan kepada portal ini, anak guamnya akan dipanggil sebagai saksi pembelaan pertama pada prosiding esok.
Keterangan bela diri usahawan itu dijadual didengar di hadapan Hakim Ahmad Fuad Othman selama empat hari bermula 19 Mei, 22 Mei, 16 Jun dan 3 Julai depan.
Pada 14 Mac lalu, mahkamah memerintahkan Aliff Syukri membela diri selepas berpuas hati bahawa pihak pendakwaan berjaya menimbulkan prima facie terhadap kes berkenaan.
Mahkamah ketika itu berpuas hati, video yang dimuat naik itu adalah tidak sopan ketika bulan Ramadan, yang mana bulan umat Islam berpuasa dan harus dihormati.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Faten Hadni Khairuddin.
Pada 13 Oktober 2022, Aliff Syukri, 38, mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan memuat naik kandungan video sumbang melalui akaun Instagram miliknya, iaitu aliffsyukriterlajaklaris dengan niat menyakiti hati orang lain pada 13, 15, 17 dan 21 April 2022.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233 (3) akta sama yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – MalaysiaGazette