GOPENG – Seorang remaja lelaki ditemukan lemas selepas cuba menyeberangi lombong di Jalan Kilang Simen, Kota Bharu di sini.
Mangsa, Muhammad Fazrul Qusry Ahmad Asmawi, 18, dipercayai sedang memancing bersama rakan-rakannya sewaktu insiden itu berlaku.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu sekitar jam 6.49 petang semalam.
Menurutnya, sepasukan anggota digerakkan ke lokasi bagi menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa.
“Rakan mangsa menyedari mangsa tidak kelihatan semasa menyeberangi lombong tersebut dan bertindak membuat pencarian di sekitar kawasan berkenaan kira-kira 30 minit sebelum membuat panggilan kecemasan.
“Setibanya jentera di tempat kejadian, kita mendapati rakan-rakan mangsa masih berada di sekitar lokasi kejadian sedang memberikan maklumat kepada pihak bomba dan polis.
“Saksi yang juga rakan mangsa menyatakan mangsa cuba menyeberangi lombong namun apabila sampai di tengah lombong, mangsa terus tenggelam serta tidak lagi kelihatan,” katanya dalam satu kenyataan hari pada Ahad.
Beliau berkata, operasi SAR semalam ditangguhkan pada jam 11.15 malam tadi dan bersambung jam 8 pagi ini.
“Pasukan PPDA (Pasukan Penyelamat di Air) yang membuat selaman telah berjaya menemui mayat mangsa pada jam 9.40 pagi pada jarak 15 kaki (4.5 meter) dari lokasi mangsa memancing.
“Mayat mangsa dibawa ke tebing dan diserahkan pada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi tamat sepenuhnya jam 10.28 pagi,” jelasnya. – MalaysiaGazette