MELAKA – Seorang remaja lelaki parah selepas ditikam kenalannya berpunca daripada isu hutang lama di Jalan Sum 1, Kampung Paya Sum, Sungai Udang di sini pada Jumaat lalu.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3.50 pagi itu, mangsa berusia 17 tahun parah dengan satu kesan tikaman sebelum dikejarkan ke Zon Merah, Hospital Melaka.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, suspek berusia 23 tahun yang turut cedera dirawat di Zon Kuning hospital sama.

“Siasatan awal mendapati kejadian berpunca apabila berlaku pergaduhan antara kedua-dua lelaki itu yang saling mengenali berpunca daripada isu hutang.
“Suspek kemudian menikam remaja lelaki berusia 17 tahun itu mengakibatkan mangsa parah manakala suspek turut cedera dipercayai ketika bergelut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Terdahulu, menruut Christopher, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah menerima panggilan kecemasan 999 daripada pengadu memaklumkan rakannya ditikam dua suspek tidak dikenali menaiki sebuah motosikal yang tidak dapat dikenal pasti.
“Bagaimanapun, hasil soal siasat terhadap mangsa mendapati tiada kes samun sebaliknya kedua-dua mereka bergaduh sesama sendiri.
Hasil siasatan, sepasukan polis dari Cawangan D7 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah dan Cawangan D9 JSJ Kontinjen Melaka berjaya menahan suspek di sebuah rumah, katanya.
Tambah Cristopher, suspek ditahan di Taman Pahlawan, Sungai Udang pada pukul 6.15 petang hari sama mengaku terlibat dalam kes yang sedang disiasat itu
“Semakan mendapati, lelaki itu yang beralamat Batu Pahat, Johor mempunyai sembilan rekod lampau berkaitan kesalahan judi dan kes disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan,” katanya. – MalaysiaGazette