Panda Fu Wa dan Feng Yi

KUALA LUMPUR – Pasangan panda gergasi, Fu Wa dan Feng Yi dihantar pulang ke Republik Rakyat China (RRC) hari ini selepas 11 tahun berada di Malaysia.

Menurut Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), pasangan panda tersebut dihantar pulang bagi memenuhi terma perjanjian di bawah Projek Kerjasama Antarabangsa Konservasi Giant Panda sebelum ini.

Menterinya, Nik Nazmi Nik Ahmad  hadir ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini bagi mengucapkan selamat pulang kepada kedua-dua panda berkenaan.

Turt hadir Ketua Setiausaha kementerian itu, Datuk Dr. Ching Thoo a/l Kim, serta wakil Duta RRC ke Malaysia.

Sebagai rekod, Malaysia memeterai perjanjian Projek Kerjasama Antarabangsa Konservasi Giant Panda bersama China Wildlife Conservation Association (CWCA), RRC pada 15 Jun 2012.

Perjanjian tersebut melibatkan kerjasama antarabangsa Giant Pandas Fu Wa dan Feng Yi.

“Sehingga kini, 20 negara di dunia telah dipinjamkan Giant Panda oleh RRC,” kata NRES menerusi kenyataan.

Tambah kementerian itu, Malaysia menunjukkan pencapaian luar biasa dalam konservasi ex-situ Giant Panda dengan kelahiran 3 ekor anak Giant Panda .

Ketiga-tiga anak Giant Panda daripada pasangan tersebut iaitu Nuan Nuan telah dihantar pulang ke RRC pada 14 November 2017 manakala Yi Yi dan Sheng Yi pada 29 Ogos 2023.

Mengulas lanjut jelas NRES, kerjasama tersebut turut meningkatkan pembangunan kapasiti
negara dalam bidang penyelidikan dan pengurusan spesies hidupan liar terancam.

Untuk info, Projek Kerjasama Antarabangsa Konservasi Giant Panda dengan RRC diteruskan melalui pemeteraian perjanjian baharu pada 16 April 2025 bersempena dengan Lawatan Negara Presiden RRC ke Malaysia.

Pemeteraian perjanjian baharu membolehkan Malaysia menerima sepasang Panda Gergasi baharu untuk tempoh 10 tahun dari 2025 hingga 2035.

Sehubungan itu, Malaysia dijadual menerima kehadiran sepasang panda gergasi baharu pada 2025.

“Projek kerjasama ini merupakan simbol persahabatan erat antara Malaysia dan RRC yang menyokong aspek kemampanan di bawah tonggak Malaysia Madani.

“Justeru Malaysia akan terus komited bekerjasama dengan RRC dalam pemuliharaan spesies panda gergasi dan kerjasama ini diharap dapat mengukuhkan lagi hubungan Malaysia
dan RRC dalam aspek diplomatik dan ekonomi,” katanya lagi.

Antara pihak yang menjayakan proses penghantaran Fu Wa dan Feng Yi hari ini adalah Kementerian Luar Negeri, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS), Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan
Malaysia (MAQIS), MASkargo dan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here